AUDIT PEMANTAUAN PENILAIAN BERTERUSAN PRESTASI HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Februari 2025 – Audit Pemantauan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah MS 1900:2014 telah berlangsung selama dua (2) hari di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) pada 17 dan 18 Februari lalu.
Skop pengauditan MS ISO 9001:2015 merangkumi perkhidmatan kesihatan bagi pesakit luar, pesakit dalam, kecemasan, perkhidmatan farmasi, sokongan klinikal, bukan klinikal serta pemprosesan tisu.
Bagi pematuhan kepada MS 1900:2014 pula, skop pengauditan merangkumi lima (5) komponen Titik Kawalan Kritikal Syariah iaitu aurat, mahram, halal dan haram, ibadah serta muamalat yang berfungsi sebagai mekanisme kawalan bagi memastikan pematuhan syariah di HPUSM.
Audit pemantauan ini merupakan proses penting bagi HPUSM kerana ia membantu menilai prestasi sedia ada serta menentukan tahap keberkesanan dalam menyediakan perkhidmatan kepada pesakit.
Sepanjang tempoh pengauditan, pihak Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) telah mengeluarkan satu (1) ketidakakuran serta sebelas (11) peluang penambahbaikan bagi MS ISO 9001:2015, manakala satu (1) peluang penambahbaikan bagi MS 1900:2014.
Pengurusan HPUSM menerima baik segala teguran yang dikemukakan dan akan terus komited untuk melaksanakan penambahbaikan dalam kualiti pengurusan hospital termasuk pengurusan klinikal serta perkhidmatan sokongan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit.
Turut hadir semasa mesyuarat pembukaan audit ialah Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Timbalan Pengarah (Operasi), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pengarah (Digital), Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar serta Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian), Profesor Dr. Shatriah Ismail.
Sumber Laporan & Foto: Wahida Amalin Zaihan
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 13