Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

APTLAB: MAKMAL TEKNOLOGI APTAMER HASIL KOLABORASI UNIVERSITI - INDUSTRI PERTAMA DI KAMPUS KESIHATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Oktober 2024 - Isu kenaikan kos dan keperluan diagnostik segera dalam amalan diagnostik patologi perubatan menjadi satu cabaran berterusan bagi setiap hospital.

IMG 20241010 WA0007

Diagnosis awal yang tepat ialah asas rawatan yang berkesan, namun ramai pesakit tidak dapat mengakses perkhidmatan penting ini akibat pelbagai kekangan. Jurang diagnostik ini menyebabkan penangguhan rawatan yang menyumbang kepada beban penyakit global. Untuk itu, penyelesaian diagnostik yang inovatif, berpatutan dan boleh diakses menjadi semakin mendesak.

IMG 20241010 WA0008

Rentetan daripada masalah ini, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) telah mengambil satu langkah kehadapan membangunkan sebuah kemudahan infrastruktur penyelidikan dan perkhidmatan yang dikenali sebagai APTLAB.

IMG 20241010 WA0010

Pembangunan makmal ini direalisasikan hasil kerjasama pasukan penyelidik jabatan iaitu BAITY (Biosensor-Aptamer-InSilico Technology) bersama rakan industri, Biogenes Technologies Sdn Bhd bagi memperkenalkan teknologi moden Aptamer dalam amalan dianostik patologi.

IMG 20241010 WA0011

Aptamer merupakan jujukan asid nukleik yang boleh direkabentuk untuk bercantum secara khusus kepada pelbagai sasaran molekul. Tidak seperti bioreseptor tradisional seperti antibodi, Aptamer direkabentuk melalui kaedah pengkomputeran atau ‘in-silico’ dan boleh disintesis mengikut keperluan penggunaan selain menjadikannya sangat efektif, ‘reproducible’ dan ‘versatile’.

Penghasilan Aptamer melalui ‘in-silico’ ini akan mengurangkan kebergantungan pada model haiwan dan menghasilkan pelbagai bioreseptor baharu bagi kaedah diagnostik histokimia. Melalui aplikasi ini kadar ketepatan lebih tinggi dan membolehkan penyasaran yang lebih pantas dengan kepekaan tinggi.

Selain itu, teknologi Aptamer ini mudah diubahsuai dan kestabilan struktur molekul Aptamer membuka potensi penggunaannya dalam persekitaran lebih meluas di lapangan serta boleh digunakan untuk pelbagai jenis penyakit termasuk kanser, penyakit berjangkit dan gangguan genetik yang pastinya memberi harapan kepada masyarakat yang memerlukan pengurusan kesihatan yang cepat, tepat dan berpatutan.

Perasmian makmal ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Azlan Amran dalam majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah 4, PPSP USM pada 7 Oktober lalu.

IMG 20241010 WA0009

APTLAB ini diharap akan menjadi sebuah hub inovasi, di mana para saintis, pakar klinikal dan pelajar bekerjasama untuk mencipta penyelesaian yang akan mengubah landskap penjagaan kesihatan negara.

Turut berlangsung dalam majlis yang sama ialah seminar dan bengkel ‘Reinventing Pathology: Application of In Silico Aptamer Technology for Precision Diagnostic’ yang disertai para peserta dari serata universiti di Malaysia.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Shazana Hilda Shamsuddin dan Ahmad Talha Mohamad Yunus

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 9