APCU 2024 FOKUS RAPATKAN JURANG PENYELIDIKAN DAN PENGURUSAN KARDIOVASKULAR
KOTA BHARU, KELANTAN, 19 Oktober 2024 – Memasuki edisi ke 15, Asia Pacific Cardiology Update@USM> (15th APCU) 2024 terus menjadi wadah pakar-pakar jantung serta penyelidik dalam dan luar negara bagi membentang penemuan terbaharu dalam perawatan penyakit jantung selain berkongsi pengetahuan berkenaan perkembangan terkini dalam bidang kardiologi seluruh dunia.
Persidangan yang dianjurkan sejak tahun 2007 itu diadakan seiring dengan matlamat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendedahkan para peserta terutama doktor-doktor muda berkenaan peningkatan risiko dan penghidap penyakit kardiovaskular.
Mengangkat tema 'Merapatkan Jurang dalam Penyelidikan dan Pengurusan Kardiovaskular', persidangan yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 18 Oktober di Renai Hotel ini dilihat bertepatan dengan matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengurangkan kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) kepada 25 peratus (%) menjelang 2025.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya berkata, penyakit kardiovaskular kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia.
“Penyakit ini juga menyumbang kepada 17% daripada jumlah kematian yang tidak disahkan di Malaysia.
“Bagi mencerminkan komitmen bersama untuk mengatasi ketidaksamaan dalam penjagaan dan memastikan kemajuan terkini dalam kardiologi sampai kepada semua pesakit, jurang dalam penyelidikan, akses kepada penjagaan dan strategi pengurusan haruslah dikurangkan,” katanya ketika merasmikan persidangan tersebut, hari ini.
Tambah Abdul Rahman, dengan penyertaan peserta yang menggalakkan pada tahun ini, APCU 2024 telah menjadi pentas terkemuka untuk pertukaran pengetahuan dalam membentuk masa depan penjagaan kardiovaskular di seluruh rantau.
“Saya juga berbesar hati menerima kehadiran tiga (3) orang penceramah antarabangsa yang akan membawa kepakaran luas mereka ke pentas APCU 2024” ujarnya.
Abdul Rahman turut berharap agar peserta dapat menggunakan kesempatan menghadiri persidangan ini untuk terlibat secara aktif, bekerjasama dan berkongsi pandangan bagi merapatkan jurang dalam penjagaan kardiovaskular untuk masa hadapan yang lebih baik.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perubatan Cawangan Kualiti mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Saiful Nazri Satiman; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Pengarah Hospital Pakar USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Presiden 'National Heart Association Malaysia' (NHAM), Profesor Adjung Dr. Alan Fong; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Pengerusi Program Audiologi mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Profesor Madya Dr. Mohd Normani Zakaria; Penasihat '15th APCU' 2024, Dato’ Dr. Mohd Sapawi Mohamed dan Pengerusi '15th APCU' 2024, Profesor Madya Dr. Wan Yus Haniff Wan Isa.
Teks : Faridatul Aswani Ahmad Zidan/ Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 61