Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

ANUGERAH KECEMERLANGAN DAN SANJUNGAN BUDI HARGAI KOMITMEN WARGA KERJA

USM, KUBANG KERIAN KELANTAN, 1 Julai 2024 - Seramai 501 staf Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Sanjungan Budi (ASB) dirai pada Majlis Penghargaan Universiti, APC 2023 dan ASB 2024 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, hari ini.

IMG 20240701 WA0042

Majlis gilang-gemilang yang diadakan dalam era pasca COVID-19 itu merupakan pengiktirafan kepada staf yang telah menabur bakti dan jasa dalam meningkatkan kecemerlangan jabatan dan USM ke peringkat yang lebih baik.

IMG 20240701 WA0041

Daripada jumlah penerima tersebut, seramai 453 staf menerima APC 2023 terdiri daripada 46 orang staf akademik, 50 staf pengurusan dan profesional (P&P) serta 357 orang lagi merupakan staf kategori pelaksana.

IMG 20240701 WA0043

Bagi penerima ASB 2024 pula, seramai 48 orang tersenarai sebagai penerima anugerah tersebut terdiri daripada sembilan (9) staf akademik, empat (4) staf P&P dan 35 orang lagi adalah staf pelaksana.

IMG 20240701 WA0044

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, terdapat kelainan dari segi kaedah pembayaran insentif kepada penerima anugerah pada tahun ini apabila pihak universiti mengambil inisiatif melaksanakan pembayaran insentif dengan mengkreditkan terus ke akaun bank masing-masing dan penerima boleh mengambil wang tunai pada keesokan hari.

IMG 20240701 WA0046

"Jadi, para penerima tidak perlu lagi mengeluarkan wang insentif tersebut seperti tahun-tahun sebelum ini kerana tiada lagi Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) diberikan.

IMG 20240701 WA0051

"Saya berharap pengiktirafan dan penghargaan seumpama ini akan meningkatkan motivasi staf untuk terus menabur bakti dengan lebih cemerlang kepada USM,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

IMG 20240701 WA0045

Beliau mengharapkan agar semua staf terus memberikan perkhidmatan yang terbaik, berkualiti dan berinovasi dalam menjulang nama USM.

IMG 20240701 WA0048

"Setiap daripada kita mempunyai peranan yang sangat penting kepada universiti ini, baik staf pelaksana, P&P, akademik sehinggalah kepada pengurusan tertinggi.

IMG 20240701 WA0049

"Marilah kita bersama-sama berganding bahu mewujudkan budaya prestasi cemerlang dalam diri masing-masing dan bekerja sebagai satu pasukan serta menjadikan ia sebagai kelaziman bagi menambah baik budaya kerja warga USM.

IMG 20240701 WA0050

"Syabas kepada semua penerima APC 2023 dan ASB 2024,” ujarnya lagi.

IMG 20240701 WA0047

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Ab Rahman; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Profesor Madya Dr. Azizah Ismail serta Timbalan Pendaftar Kanan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Penghargaan Universiti Kampus Kesihatan, Noor Hayati Mohammad.

Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 26