Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

ANAK MERDEKA: SITI KHAIRIYAH TERUJA SAMBUT BAYI SULUNG 31 OGOS DI HOSPITAL USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 September 2023 – Penyelia Asrama, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Kelantan (IKTBN), Siti Khairiyah Pauzi, 32, teruja dan gembira menimang cahaya mata sulung yang lahir pada tarikh keramat iaitu hari ulang tahun kemerdekaan negara.

IMG 20230901 WA0006
 
Beliau melahirkan bayi merdeka pertama di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) pada jam 2.25 pagi semalam.
 
“Alhamdulillah, syukur saya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.31 kilogram (kg) melalui pembedahan. 
 
IMG 20230901 WA0008
 
"Terima kasih kepada seluruh kakitangan Hospital USM kerana memberikan layan yang amat baik sejak saya dimasukkan ke hospital pada 27 Ogos lalu.
 
“Saya dijangka bersalin pada 6 September, namun disebabkan indikasi tertentu, saya dimasukkan ke hospital lebih awal dan selamat bersalin pada tarikh yang cukup istimewa iaitu 31 Ogos dan saya yakin sambutan Hari Kemerdekaan selepas ini akan bertambah meriah berikutan saya mempunyai seorang anak merdeka,” katanya.
 
IMG 20230901 WA0004
 
Hospital USM menyambut kelahiran 17 bayi sempena Hari Kemerdekaan ke-66 bermula jam 12.01 pagi hingga 11.59 malam tadi. Daripada jumlah itu, sembilan (9) adalah bayi lelaki dan lapan (8) bayi perempuan yang dilahirkan secara normal dan pembedahan.
 
IMG 20230901 WA0005
 
Sementara itu, menurut seorang lagi ibu bayi merdeka, Siti Hajar Ghazali, 38, dia dan suaminya Mohd Sanusi Yusof berasa sangat bertuah kerana cahaya mata keempat mereka dilahirkan pada Hari Kebangsaan walaupun tarikh jangkaan sebenar yang diberikan doktor adalah pada 29 September 2023.
 
"Sewaktu berada di rumah, saya mula merasai tanda-tanda ingin bersalin dan terus ke wad bersalin pada jam 10.00 malam 30 Ogos.
 
IMG 20230901 WA0007
 
"Alhamdulillah, saya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.06 kg pada jam 3.20 pagi semalam.
 
"Syukur ke hadrat Allah SWT, semua urusan bersalin dipermudahkan oleh-Nya dan kelahiran bayi merdeka ini bukan sahaja memberi rahmat buat saya dan suami, malah ia juga satu perasaan yang sukar digambarkan dan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata," ujar beliau yang merupakan Pembantu Jururawat Hemodialisis Renal-Link (Kelantan) Sdn. Bhd. 
 
IMG 20230901 WA0003
 
Pengurusan Hospital USM turut merakamkan penghargaan kepada Co-op Bank Pertama Cawangan Kota Bharu yang berbesar hati menghulurkan sumbangan kepada bayi merdeka di Hospital USM.
 
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman
  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 54