Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

'ALL EYES ON RAFAH’: NARATIF CABARAN ISU KESIHATAN DI GAZA

USM, KUBANG KERIAN KELANTAN, 3 Julai 2024 – Isu jenayah kemanusian dan penindasan rakyat Palestin terus menjadi perhatian dunia dan masyarakat sejagat. Menyedari hakikat ini, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Alumni USM (PAUSM) dan Persatuan Alumni Doktor Perubatan USM (PADU) mengambil inisiatif mengadakan program berbentuk ‘podcast’ bertajuk ‘Sharing Knowledge: All Eyes On Rafah’ di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

IMG 20240703 WA0021

Mengangkat tajuk Sistem Kesihatan Palestin Rebah, Adakah Bantuan Perubatan Kita Terarah, ‘podcast’ ini menampilkan perbincangan mendalam mengenai cabaran yang dihadapi oleh pasukan perubatan dan sistem kesihatan di Palestin termasuk kekurangan bekalan perubatan dan sekatan akses kepada rawatan kesihatan yang kritikal.

IMG 20240703 WA0019

Panelis yang merupakan sebahagian daripada pasukan perubatan MERCY Malaysia, Dr. Haniif Ahmad Mazlan yang merupakan Alumni USM, Program Sarjana Perubatan (Surgeri) dan Asisten Profesor Dr. Mohd Syafwan Adnan juga Alumni USM, Program Sarjana Perubatan (Perubatan Kecemasan) membincangkan usaha-usaha bantuan perubatan yang dijalankan oleh komuniti antarabangsa dan Malaysia serta peranan yang boleh dimainkan oleh para profesional kesihatan untuk pemindahan ilmu kepada petugas kesihatan di sana.

IMG 20240703 WA0020

Selain itu, ‘podcast’ ini turut menyoroti inisiatif kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya Malaysia daripada segi pembiayaan perubatan dan sumbangan makanan untuk meringankan beban sistem kesihatan Palestin.

IMG 20240703 WA0017

IMG 20240703 WA0018

Melalui perkongsian mereka, sekatan berterusan mengakibatkan bantuan tidak dapat disalurkan secara optimum dan ia terus diburukkan dengan pertambahan jumlah mangsa yang tercedera akibat letupan bom.

IMG 20240703 WA0016

Program yang dikendalikan oleh Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, PPSP USM, Dr. Afiq Izzudin A Rahim sebagai moderator ini turut dihadiri Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab.

Teks : Mohamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin / Foto : Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 9