Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

AHLI FARMASI : BUKAN SEKADAR PEMBERI UBAT

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 September 2023 – Hari Farmasi Sedunia atau 'World Pharmacists Day' (WPD) merupakan salah satu hari penting yang disambut di seluruh dunia pada 25 September setiap tahun sejak tahun 2009.

Tema Hari Farmasi Sedunia sentiasa berubah mengikut kepentingan dan peranan penting ahli farmasi dalam masyarakat. Pada tahun ini, tema yang dipilih adalah 'Pharmacy Strengthening Health Systems,' menekankan peranan penting yang dimainkan oleh ahli farmasi dalam mengukuhkan sistem kesihatan.

26sept7

Menurut Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman, tahun ini merupakan tahun ke-15 sambutan ini diadakan.

“Jabatan Farmasi Hospital USM telah menyediakan tema khusus bagi Sambutan Hari Farmasi Sedunia 2023 Peringkat Hospital USM iaitu ‘Always There to Care’.

26sep

26sep3

"Tema tersebut amat dekat dengan peranan ahli farmasi dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit di Hospital USM.

“Sambutan ini diadakan bertujuan menerapkan kefahaman tentang amalan pengurusan ubat-ubatan yang betul dalam kalangan masyarakat serta membimbing masyarakat dalam penjagaan ubat-ubatan melalui kaunseling pengubatan,” katanya ketika merasmikan majlis penutup sambutan berkenaan di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, semalam.

26sep4

Tambah Nik Hisamuddin, semua ini direalisasikan menerusi aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang dua (2) hari ini iaitu Pameran Kenali Ubat Anda dan Kuiz Penggunaan Ubat-ubatan di laluan hadapan Unit Farmasi Pesakit Luar.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada penganjur kerana pameran tersebut turut dijayakan oleh farmasi komuniti dan industri farmaseutikal iaitu IMedikel Pharma Holding Berhad, Jardin Pharma Berhad, Novugen Pharma Sdn. Bhd. dan Ethos Healthcare Sdn. Bhd. demi menjayakan matlamat Hari Farmasi Sedunia ini.

26sept5

“Apa yang saya dapat rumuskan adalah program seumpama ini dapat meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan dan memantapkan pengetahuan masyarakat berkenaan ubat-ubatan termasuk cara pengambilan, penyimpanan, kesan sampingan, mengenali ubat berdaftar dan banyak lagi,” jelasnya.

Nik Hisamuddin berkata, ahli farmasi dipertanggungjawabkan untuk memastikan ubat yang digunakan oleh pesakit tidak mengakibatkan kemudaratan apabila mereka jelas dengan takrifan penggunaan ubat secara rasional dan selamat sebelum pulang.

26sept6

Sambutan Hari Farmasi Sedunia 2023 Peringkat Hospital USM turut diisi dengan ceramah bertajuk "Penggunaan Ubat Secara Rasional dan Selamat" sebagai aktiviti penutup bagi memberi informasi bermanfaat kepada peserta tentang penggunaan ubat yang bijaksana dan kesan positifnya terhadap kesihatan individu.

26sept8

26 sept2

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Operasi), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Ketua Pegawai Farmasi, Jabatan Farmasi Hospital USM, Mohd Hanif Abdul Rahman dan Pengerusi Program Sambutan Hari Farmasi Sedunia 2023, Nor Suriana Mohd Yusof.

Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 66