Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

14 TAHUN KEKALKAN PRESTASI SETARAF MAKMAL LUAR NEGARA

USM,KUBANG KERIAN,KELANTAN, 5 Ogos 2024-Kecemerlangan makmal-makmal perubatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) terus mendapat pengiktirafan melalui pensijilan akreditasi MS ISO 15189 setaraf dengan makmal-makmal di luar negara.

WhatsApp Image 2024 08 05 at 3.15.18 PM3

Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud berkata, pengiktirafan makmal-makmal perubatan di Hospital USM di peringkat antarabangsa adalah amat membanggakan kerana dapat mengekalkannya sejak tahun 2010.

"Ia berperanan sebagai kerangka penting bagi makmal perubatan untuk menetapkan dan mengekalkan sistem pengurusan kualiti yang berkesan, meningkatkan kualiti, kebolehpercayaan dan keselamatan perkhidmatan ujian makmal yang disediakan kepada pesakit.

WhatsApp Image 2024 08 05 at 3.15.19 PM1

“Melalui pengiktirafan ini juga, ia secara tidak langsung membantu meningkatkan standard amalan dalam kalangan makmal perubatan di Hospital USM yang turut menjaga keselamatan pesakit dan memberikan hasil ujian yang berkualiti tinggi setaraf dengan makmal-makmal lain secara global,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan Makmal-Makmal Perubatan di Dewan Kuliah 4, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM, hari ini.

WhatsApp Image 2024 08 05 at 3.15.18 PM4

Jelasnya lagi, bertepatan dengan tema Hari Bersama Pelanggan pada tahun ini iaitu ‘Makmal Berakreditasi, Terjamin Kualiti’, komitmen dan kerjasama berpasukan daripada semua pihak terutamanya pihak wad dan klinik yang merupakan pelanggan utama bagi makmal-makmal perubatan adalah sangat penting.

“Kerjasama kakitangan wad dan klinik terdiri daripada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat dan Pembantu Perawatan Kesihatan yang merupakan pelanggan makmal adalah amat diperlukan dalam memastikan setiap sampel pesakit yang dihantar ke makmal memenuhi keperluan standard MS ISO 15189 yang telah ditetapkan.

WhatsApp Image 2024 08 05 at 3.15.21 PM2

“Persefahaman, komunikasi dan kerjasama yang baik di antara kedua-dua belah pihak adalah sangat penting dalam memastikan segala proses kerja yang dijalankan mematuhi keperluan standard MS ISO 15189 dan seterusnya memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit Hospital USM,”katanya lagi.

WhatsApp Image 2024 08 05 at 3.15.20 PM3

Untuk rekod, MS ISO 15189 merupakan satu piawaian antarabangsa yang menetapkan keperluan sistem pengurusan kualiti yang khusus kepada makmal perubatan.

WhatsApp Image 2024 08 05 at 4.16.27 PM

Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Latihan Iktisas), PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad dan Pengarah Program Hari Bersama Pelanggan Makmal-Makmal Perubatan Hospital USM 2024, Dr. Ruzilawati Abu Bakar.

Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 4