Test Berita
hihi
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 6
hihi
KOTA BHARU, KELANTAN, 6 Februari 2024 – Sebagai usaha untuk sentiasa bersedia memberi komitmen dalam perkembangan bidang perubatan transfusi, Unit Perubatan Transfusi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kolaborasi International Society of Blood Transfusion (ISBT), hari ini menganjurkan ‘Transfusion Medicine Updates: Asian Pacific Symposium 2024’ (TMUAPS 2024) yang berjaya mengumpul seramai 210 peserta melibatkan deligasi daripada negara Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia dan Australia.
Simposium yang berlangsung selama dua (2) hari ini bertujuan mengupas pandangan pakar-pakar dari luar negara berhubung informasi terkini dalam bidang perubatan transfusi selain menjadi medium pertukaran dan perkongsian ilmu antara satu sama lain.
Berucap ketika merasmikan simposium tersebut, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Profesor Madya Dr. Asrenee Ab. Razak mewakili Dekan PPSP berkata, setiap peserta simposium itu membawa ilmu dan kepakaran unik masing-masing untuk berkongsi pandangan dalam membentuk rangkaian ilmu dan kreativiti yang tiada tolok bandingnya.
“Penyertaan pakar-pakar dari negara yang lebih maju memberi impak positif dan ilmu baharu kepada bidang perubatan transfusi sedia ada.
“Simposium ini bukan sekadar satu sesi perkongsian biasa, tetapi ia adalah usaha kolaboratif untuk memacu perubahan yang boleh membawa industri ini ke hadapan.
“Saya berharap setiap peserta mendalami inti pati simposium ini dengan fikiran yang lebih terbuka dan semangat ingin tahu serta berani mengutarakan idea anda, dalam masa yang sama bersedia menerima perspektif baharu,” ujarnya.
Tambah Asrenee, simposium ini juga akan menjadi ruang kolektif dalam memikirkan penyelesaian dan merangka kursus untuk masa depan bidang ini yang lebih cerah.
“Janganlah kita lari daripada mengakui cabaran yang mendatang. Tempuhi dan hadapilah cabaran-cabaran ini kerana saya percaya ia akan membuka jalan untuk menghasilkan inovasi dan mencipta kemajuan dalam bidang perubatan transfusi,” jelasnya lagi.
Turut hadir ialah Ketua Unit, Unit Perubatan Transfusi (UPT), Hospital USM, Profesor Madya Dr. Rosnah Bahar; Penyelaras UPT, Hospital USM, Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Hassan dan Pengerusi TMUAPS 2024, Profesor Madya Dr. Noor Haslina Mohd Noor.
Teks: Wan Nor Azlin Wan Azlan & Faridatul Aswani Ahmad Zidan / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman