Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

TEKNIK YANG BETUL UJIAN KENDIRI COVID-19 PENTING UNTUK KEPUTUSAN YANG TEPAT

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Mac 2022 - "Kepentingan teknik yang betul semasa melakukan ujian kendiri COVID-19 amat penting bagi memastikan keputusan yang tepat", demikian kata Ketua Unit, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Siti Suraiya Md Noor. 

AKTIVITI 2.0

Menurut Siti Suraiya, terdapat 124 jenis kit ujian kendiri yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dijual di pasaran dan fungsinya berbeza antara setiap kit ujian. 

"Saya suka mengingatkan kepada semua khususnya mereka yang membeli kit ujian secara dalam talian (online) atau mana-mana premis jualan selain dari farmasi, mereka perlu pastikan dengan membeli kit yang diluluskan sahaja. 

"Apabila membuat pembelian, pastikan kit ujian yang dibeli menggunapakai sampel yang mana, sama ada sapuan nasofaring (nasopharyngeal swab), sapuan hidung (nasal swab), sapuan bukal (buccal swab) atau air liur (saliva) kerana langkah-langkah ujian bagi setiap kit adalah berbeza-beza," katanya ketika memyampaikan ceramah dalam program 'Town Hall' : Isu Semasa COVID-19 Hospital USM menerusi platform webex hari ini. 

Siti Suraiya berkata, prinsip ujian RTK Antigen ini adalah untuk mengenalpasti viral protein kepada virus COVID-19.  

"Sebelum melakukan ujian kendiri, kita hanya boleh minum air kosong sahaja dan tidak boleh merokok, makan atau sekadar mengunyah makanan kerana dikhuatiri ada protein-protein tertentu dalam makanan yang boleh mengganggu antigen yang akan diuji. 

"Sebaik-baiknya ikuti setiap arahan yang terdapat pada kotak kit ujian kerana kecuaian mengikuti arahan seperti tidak menepati masa ujian atau sampel yang tidak mencukupi boleh menjejaskan keputusan ujian dan setiap keputusan yang diperolehi perlu diambil kira dalam tempoh tertentu sahaja. 

"Jika keluar dua (2) garisan, ianya dikira positif walaupun salah satu hanya kelihatan samar-samar sahaja, keluar satu garisan, keputusan dikira negatif dan jika tiada sebarang garisan, keputusan adalah 'invalid' dan ujian perlu diulangi," jelasnya lagi. 

Tambah Siti Suraiya, pengendalian sisa klinikal yang telah digunakan juga perlu diberi perhatian kerana kit yang telah digunakan perlu dimasukkan ke dalam plastik yang dibekalkan tidak kira sama ada keputusan tersebut positif atau negatif kerana kedua-duanya boleh memberikan risiko kepada orang lain khususnya pekerja pembersihan. 

"Bersihkan tempat ujian dibuat contohnya meja atau apa sahaja peralatan lain yang digunakan semasa ujian kendiri dilakukan," katanya lagi. 

AKTIVITI 2.1

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
Infografik: Mohd Asrar Mohd Rokeman

 

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 128