PROGRAM JOM DERMA MAINAN
2 Mei 2023, Klinik Terapi Pertuturan USM telah menganjurkan Program Jom Derma Mainan bagi menggalakkan staf USM serta orang awam untuk menderma alat permainan di rumah yang masih dalam keadaan baik, tetapi telah tidak digunakan. Sumbangan alatan permainan telah bermula 1 Februari 2023 hingga 31 Mac 2023 manakala tempoh serahan alat permainan kepada pesakit dijalankan bermula 14 Februari 2023 hingga 30 April 2023.
Sepanjang tempoh program ini dilangsungkan, sebanyak 293 set alat permainan yang terdiri daripada set patung kanak-kanak, lego, buku, kenderaan, set mainan dapur dan lain-lain telah disumbangkan oleh staf USM, pelajar USM dan orang awam. Alat permainan yang disumbangkan telah digunakan semasa sesi terapi untuk latihan bersama ibu bapa atau penjaga pesakit kanak-kanak yang hadir semasa sesi terapi di klinik. Seterusnya, sumbangan tersebut diberikan kepada mereka untuk digunakan di rumah serta sebagai salah satu langkah memastikan kesinambungan sesi terapi tersebut.
Sumbangan ini diberikan kepada pesakit kanak-kanak yang hadir ke Klinik Terapi Pertuturan, Hospital USM dan Klinik Pertuturan-Bahasa, Pusat Pengajian Sains Kesihatan sepanjang tempoh program dijalankan. Pemilihan dan pembersihan alat permainan dilakukan sebelum serahan bagi memastikan alat permaianan yang disumbangkan bersesuaian dengan kebolehan pesakit serta selamat untuk digunakan. Setakat ini, seramai lebih 100 pesakit telah menerima sumbangan alat permainan yang didermakan dan serahan akan terus dijalankan sehingga selesai.
Pihak Klinik Terapi Pertuturan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma. Semoga usaha yang dijalankan ini dapat membantu pesakit yang memerlukan disamping meningkatkan kemahiran ibu bapa atau penjaga dalam membantu anak-anak yang lambat bertutur.
Disediakan oleh,
Nur Afiqah Abdullah
Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan)
Klinik Terapi Pertuturan, Hospital USM
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 243