
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Ogos 2016 – Pusat Sumber Chronic Kidney Disease (CKD), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) hari ini menerima kunjungan seramai 31 orang peserta terdiri daripada pelajar dan pengajar Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Perak (KSKBSAS).
Rombongan ini diketuai oleh Ketua Kluster Kursus Pengkhususan Renal dan Pengajar, Pathmavathi Annamalai dan Ramesh A/L K. Chandran bagi memberi pendedahan kepada pelajar dan pengajar yang mengikuti serta mengajar kursus berkaitan dengan Pengkhususan Perawatan Renal.
Para pelawat telah diraikan dengan ucapan alu-aluan daripada wakil pengurusan Hospital USM yang diwakili Timbalan Pengarah Kanan Klinikal, Dr Nik Min Ahmad serta penerangan oleh Penyelaras Pusat Sumber CKD, Profesor Madya Dr Azreen Syazril Adnan.
Menurut Nik Min, Pusat Sumber CKD telah ditubuhkan pada 12 Disember 2011 dan penubuhannya adalah untuk mewujudkan sistem pencegahan dan perawatan penyakit buah pinggang kronik secara bersepadu dan sistematik serta lebih efektif.
“Perkongsian idea dua hala antara KSKBSAS dan HUSM ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar dan pengajar memahami mengenai Pusat Sumber CKD sebagai “role model” bagi meningkatkan mutu perkhidmatan klinikal nefrologi di peringkat nasional.
"Pusat Sumber CKD merupakan entiti perkhidmatan baharu HUSM yang berfungsi untuk mengintegrasikan perkhidmatan pencegahan dan perawatan penyakit buah pinggang," katanya.

Tambah Nik Min, pusat sumber ini juga mewujudkan kerjasama bijak atau “Smart-Partnership” di antara jabatan yang sedia ada di HUSM serta Antara agensi swasta dengan HUSM.
"Dengan mewujudkan 'One Stop Centre' dalam perawatan pesakit, pendidikan pengamal perubatan dan kakitangan sokongan serta sumber maklumat terkini perawatan dan pencegahan penyakit buah pinggang kronik, ianya juga menjadi tempat pusat latihan 'postbasic nephrology' dan pelajar pasca siswazah serta subkepakaran nefrologi.
"Lawatan sebegini diharapkan dapat memberi peluang kepada IPTA dan IPTS yang terlibat dalam pengkhususan ini menambah pengetahuan mengenai teknologi berkaitan rawatan penyakit buah pinggang yang kronik," ujarnya lagi.
Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Foto: Muhammad Amin Syafiq Sakri