KOTA BHARU, KELANTAN, 27 Disember 2020 - Kecemasan adalah satu keadaan yang berlaku secara tiba-tiba, di mana sahaja dan akan memberi kesan buruk kepada sesiapa yang mengalaminya.
Menurut Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Khairilmizal Samsudin, berdasarkan kajian di Malaysia, sebanyak 27% isi rumah berbincang dengan keluarga ketika melakukan tindakan semasa kecemasan manakala 14% isi rumah yang mempunyai plan kecemasan dan hanya 23% sahaja isi rumah yang mendapat latihan dalam bantuan penafasan, CPR dan penggunaan alat pemadam api.
“Ilmu pengetahuan pertolongan cemas amat penting dipelajari oleh setiap orang. Paling tidak, dalam setiap keluarga atau kumpulan mesti terdapat salah seorang daripada mereka yang mempunyai kemahiran asas dalam memberi pertolongan cemas,” katanya ketika menjadi tetamu Rancangan Sembang Sihat Radio Kelantan FM, di sini.
Tambah Khairilmiza, pengetahuan bantuan pernafasan yang betul adalah penting bagi memulihkan pernafasan mangsa dan ilmu pertolongan cemas boleh dipelajari melalui latihan khas yang disediakan oleh pakar dalam bidang perubatan seperti doktor , paramedik, Persatuan Bulan Sabit Merah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Kes kemalangan kecil perlu diberikan bantuan kecemasan mengikut tindakan yang betul dan bagi mengelak perasaan panik semasa berlaku kecemasan seperti kebakaran, banjir dan sebagainya, ahli keluarga perlu mengikuti latihan-latihan ini.
“Antara kelengkapan asas yang perlu disediakan di setiap rumah adalah seperti kotak kecemasan yang mengandungi ubat-ubatan asas dan peralatan seperti penyepit, kapas dan pembalut luka yang boleh dibeli di mana-mana farmasi atau kedai pekakas rumah serta kotak kecemasan ini perlu diletakkan di tempat yang mudah dicapai oleh orang dewasa serta mudah dilihat,” ujarnya lagi.
Khairilmiza berkata, setiap rumah mesti dilengkapi dengan alat pemadam api yang mempunyai label selamat untuk digunakan bagi semua jenis api serta telah disijilkan dan letakkan di tempat yang mudah diakses.
“Alat pemadam api perlu diselenggara dan diperiksa setiap tahun oleh syarikat perlindungan kebakaran yang bertauliah.
“Jadi, setiap orang perlu mempelajari cara penggunaan alat pemadam api kerana kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.
Jelas Khairilmizal, satu lagi alat penting yang perlu ada di rumah ialah alat pengesan asap yang dipasang di bilik atau di ruang koridor rumah untuk mengesan asap dan memberi amaran awal bagi membolehkan mangsa mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum terlambat.
“Alat pengesan asap itu perlu diuji setiap bulan bagi memastikan baterinya berfungsi dengan baik.
“Sekiranya berlaku kebakaran, sila pastikan ahli keluarga keluar dari rumah dan hapuskan punca utama kebakaran jika boleh melakukannya serta segera hubungi pasukan penyelamat seperti JPAM atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan menghubungi talian kecemasan 999,“ ujar beliau lanjut.
Persediaan ini amat penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya kes-kes kecemasan di rumah atau di mana-mana sahaja.
“Keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya isi rumah tidak membuat persediaan yang lebih terurus jika menghadapi situasi kemalangan dan bencana alam yang lain,” katanya.
Teks: Anawiah Abdul Aziz