SOP KETAT TIDAK JEJAS PERKHIDMATAN DI HOSPITAL USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Disember 2020 – Seorang Pengurus Rumah Kebajikan memilih untuk melahirkan bayi ketiganya di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) walaupun saat itu negara digemparkan dengan penularan berita mengatakan Bilik Bersalin dan Dewan Bedah Hospital USM ditutup ekoran jangkitan wabak COVID-19.

Nurul Wahida Harun, 35, bagaimanapun tidak terpengaruh dengan berita yang tersebar dan kekal memilih untuk bersalin di Hospital USM.

081dbdea aaef 4162 9ad1 6264e063a667

“Saya pada mulanya agak bimbang selepas membaca berita yang tular mengatakan Bilik Bersalin dan Dewan Bedah Hospital USM ditutup kerana doktor telah memberikan tarikh untuk saya melahirkan bayi secara pembedahan pada 29 November 2020 berikutan saya mempunyai sejarah kelahiran dua anak terdahulu yang juga dilahirkan secara pembedahan di Hospital USM.

“Namun, selepas berbincang dengan suami dan merujuk kepada Pakar Obstetrik & Ginekologi Hospital USM, saya dimaklumkan bahawa tiada perkhidmatan yang ditutup dan berasa sangat lega serta bersyukur kerana dapat meneruskan proses kelahiran di Hospital USM yang mempunyai ramai doktor pakar berpengalaman,” ujarnya.

f08c06ca 2544 400b a369 76f6aa2a8252

Nurul Wahida selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.07 kilogram melalui pembedahan dan memilih Wad Korporat untuk rawatan selepas bersalin.

“Sepanjang tiga hari berada di wad, saya dijaga dengan baik oleh jururawat-jururawat yang ramah dan banyak membantu memudahkan segala urusan sebelum dan selepas bersalin,” katanya.

Nurul Wahida turut menasihatkan masyarakat agar tidak mudah percaya sesuatu maklumat yang disebarkan dan mendapatkan fakta serta info dari sumber yang sahih sebelum menularkannya.

388794c1 1734 4a9e 8fc2 82ff8dca2b36

Sementara itu, seorang suri rumah, Rosliza Muhammad, 39, dari Kampung Takang, Bachok pula berkata, beliau nekad memilih untuk ke Hospital USM bersama suami bila merasa sakit untuk bersalin pada jam 11.00 malam 28 November lalu.

“Saya dan suami tawakal dan mengharapkan berita yang kami dengar pada petang itu mengatakan Bilik Bersalin Hospital USM ditutup adalah tidak benar dan saya tetap menyuruh suami menghantar saya ke Hospital USM dahulu untuk memastikan kesahihan berita tersebut.

“Setibanya saya di Jabatan Trauma dan Kecemasan Hospital USM, saya diminta untuk terus ke Bilik Bersalin memandangkan tanda-tanda untuk melahirkan sudah ada,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Menceritakan detik bersalin di Hospital USM walaupun tanpa ditemani suami di bilik bersalin disebabkan negara masih lagi bergelut dengan pandemik COVID -19, Rosliza sangat bersyukur kerana proses kelahiran bayi kelimanya itu dipermudahkan oleh Allah SWT.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jururawat dan doktor yang bertugas menyambut kelahiran bayi lelaki saya seberat 3.4 kilogram tepat jam 12.30 pagi pada 29 November lalu,’ jelasnya lanjut.

Rosliza yang melahirkan bayinya secara normal turut berpesan agar orang ramai tidak mudah mempercayai berita yang tular tanpa bukti yang sahih kerana ia akan menimbulkan kepanikan dan keresahan kepada orang lain.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

Koleksi Berita Utama
31 Disember 2020

Pengiktirafan

Logo 1 StandardsLogo 3 UKASLogo 4 IQnetLogo 2 ilac MRA            rakanbayi mesraibadah

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 11 April 2021.
Jumlah Pengunjung
2055583