KOTA BHARU, KELANTAN, 12 November 2020 - Bencana adalah satu kejadian yang berlaku secara tiba-tiba dan boleh menganggu-gugat perjalanan kehidupan kita.
Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah, secara amnya rakyat Malaysia memang terbiasa dengan bencana seperti banjir dan tanah runtuh.
“Bencana pada dasarnya telah mengalami evolusi dan berkembang seiring dengan peredaran masa. Pada masa dahulu kita sentiasa didedahkan dengan bencana alam (natural disaster) dan bencana akibat perbuatan manusia (man-made disaster) ,” ujarnya ketika ditemubual menerusi panggilan telefon bagi rancangan ‘Sembang Sihat’ menerusi radio Kelantan FM, di sini.
Tambah Shaharudin, masyarakat memerlukan maklumat yang tepat dan mudah difahami setiap golongan agar tidak wujud kekeliruan. Jadi sumber maklumat seharusnya merujuk kepada agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam menangani bencana.
“Sebagai rakyat atau komuniti yang bertanggungjawab, kita seharusnya cakna dan terlibat sama dalam pelan pengurusan bencana kerana ia boleh membantu kita sendiri dan ahli keluarga selain membantu kerajaan dalam menangani isu bencana kelak.
“Untuk pengetahuan semua, bencana mempunyai peringkat atau fasa yang tersendiri dan agak unik. Sebelum, semasa dan selepas adalah fasa-fasa yang saya maksudkan yang mana, fasa sebelum dan selepas sangat penting kerana akan menentukan bagaimana daya tahan kita ketika berada dalam fasa semasa berlakunya bencana kerana jika kita gagal dalam fasa sebelum berlakunya bencana, seperti kita gagal mendidik masyarakat bagaimana untuk bertindak," jelasnya lagi.
Shaharudin berkata, fasa selepas bencana pula adalah berkaitan bagaimana kita membina semula semua yang telah musnah dan merancang untuk mengurangkan impak kemusnahan sekiranya bencana berlaku untuk kali kedua nanti.
"Orang ramai yang ingin memberikan bantuan semasa bencana berlaku, diingatkan agar menyediakan rangka kerja atau gerak kerja yang sistematik.
"Sebaiknya pengurusan bencana dilaksanakan oleh agensi pengurusan bencana yang ada di setiap negeri serta dapat mengikuti Pertubuhan Badan Bukan Kerajaaan (NGO) yang terlibat aktif dalam pengurusan bencana. Ini kerana NGO yang terlibat mempunyai hubungan rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mendapatkan maklumat yang tepat," ulasnya.
Shaharudin turut menjelaskan bahawa pengurusan bencana pada tahun ini mungkin berbeza dari tahun sebelumnya kerana negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan pihak pengurusan bencana iaitu NADMA perlu memastikan 'Standard Operating Procedure' (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi.
Teks: Wan Salizawati Wan Ismail