37 TAHUN BASUH LINEN PESAKIT HOSPITAL USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 November 2020 - 'The Unsung Hero' atau wira tak didendang. Itu gelaran yang paling sesuai diberikan kepada pekerja pembersihan termasuk warga kerja di Bahagian Perkhidmatan Dobi (BPD), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) apabila berdepan dengan wabak koronavirus.

Bukan mudah untuk mereka berada dalam situasi getir, namun demi amanah yang dipikul dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan, membuatkan mereka lebih bersemangat membanting tulang dalam memastikan linen dapat disalurkan ke wad dan klinik mengikut keperluan.

index5

Bagi Zulkifly Lee Abdullah, 59, walaupun sudah 37 tahun mencurah bakti dalam kerja-kerja pencucian linen pesakit di BPD Hospital USM, tugas rutin itu tidak sedikitpun membebankan dirinya malah berbangga dapat menimba ilmu dalam mengendalikan pelbagai mesin pencucian.

Zulkifly yang melaporkan diri di Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am sebagai Tukang Dobi pada 12 Disember 1983 merasakan dirinya sangat bertuah kerana berpeluang menimba pengalaman dalam mengendalikan pelbagai mesin basuh sehingga menjadikannya mahir dalam selok-belok menguruskan mesin walaupun secara manual tatkala sistem pencucian automatik mengalami kerosakan.

index1

Bercerita tentang skop kerja sebagai Tukang Dobi, Zulkifly yang berasal dari Kampung Kebakat, Wakaf Bharu menjelaskan bahawa beliau kini dilantik mengetuai Seksyen Membasuh & Mengering.

“BPD dipecahkan kepada empat seksyen iaitu Seksyen Membasuh dan Mengering, Seksyen Menerima dan Melipat, Seksyen Stor dan Membekal serta Seksyen Menjahit.

“Proses pembasuhan akan bermula seawal jam 8.30 pagi setelah menerima linen kotor yang dihantar oleh Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) ke BPD dan linen tersebut akan dikira serta direkodkan ke dalam fail sebelum diasingkan mengikut warna dan jenis,” ujarnya ketika ditemubual.

index4

Menurut Zulkifly, sebelum memulakan pembasuhan, beliau perlu merancang sesi pembasuhan bagi memastikan setiap basuhan seimbang mengikut jenis linen yang akan dicuci seperti baju, selimut, cadar, sarung bantal, langsir dan lain-lain.

“Selesai mencuci, linen tersebut akan dimasukkan ke dalam mesin pengeringan mengikut suhu kepanasan yang sesuai sebelum diasingkan untuk proses berikutnya iaitu melipat. Sekiranya linen tersebut ada mengalami koyakan, bahagian menjahit akan memastikan ianya dijahit sempurna sebelum dibekalkan semula ke wad-wad dan klinik.

“Sebagai ketua di bahagian pembasuhan, saya bertanggungjawab menjaga kualiti kebersihan linen yang dibekalkan kepada wad dan klinik dalam usaha memastikan pelanggan dan pesakit Hospital USM berpuas hati dengan khidmat kami,” jelasnya lagi.

index

Zulkifly yang kini memegang jawatan sebagai Pekerja Awam H14 mula berkhidmat di Hospital USM dengan tawaran gaji sebanyak RM250 pada tahun 1983 bagi staf lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, Hospital USM merupakan sebuah hospital yang memiliki perkhidmatan dobi sendiri berbanding hospital-hospital lain yang menyerahkan linen mereka kepada pembekal luar bagi aspek pembasuhan.

“Setiap hari, kami di BPD Hospital USM akan mencuci antara 2,000 hingga 3,300 kilogram linen mengikut dua shif yang ditetapkan dan linen ini biasanya akan bertambah pada cuti hujung minggu.

“Sebelum diedar ke wad-wad dan klinik, penyelia akan memastikan kualiti linen yang dibekalkan berada dalam keadaan baik bagi mengelak pandangan buruk pesakit sekaligus menjejaskan imej dan reputasi Hospital USM,” ulas beliau lanjut.

index2

Zulkifly yang menjadikan Encik Abdul Ghani Abdullah sebagai ikon dalam menguruskan kerja-kerja pencucian linen memberitahu, sifunya itu banyak mengajar beliau meneroka kaedah baharu dalam aspek pencucian selain banyak memberi tunjuk ajar agar melaksanakan tugas dengan lebih sistematik.

Bercerita mengenai peristiwa paling manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat di BPD Hospital USM, Zulkifly yang bakal bersara pada 6 Januari 2021 memberitahu, sikap setiakawan dan silaturrahim yang terjalin antara staf tanpa mengira gred jawatan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan secara berpasukan di samping menganggap 26 lagi rakan setugas seperti adik-beradik sendiri akan sentiasa tersemat utuh di sanubari beliau.

index3

“Saya bersedia untuk berkongsi kemahiran dan kepakaran yang saya miliki dalam mengendalikan mesin pencucian sekiranya dipanggil untuk memberi penerangan kepada staf pelapis walaupun sudah berpencen nanti.

“Kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T dalam mengendalikan mesin ini akan saya tinggalkan untuk dijadikan rujukan dan panduan rakan-rakan yang lain di BPD bagi meneruskan rutin harian saya dalam memastikan proses pendobian berjalan lancar,” katanya.

Berpegang kepada prinsip jangan mudah berputus asa, figura tinggi lampai berkumis dan berkulit putih ini sentiasa mencari jalan alternatif bagi memastikan proses pembasuhan linen di BPD tidak tergendala dan akan segera berbincang dengan penyelia untuk mendapatkan penyelesaian terbaik.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Selasa 10 November 2020.
Jumlah Pengunjung
1786618