KANSER PAYUDARA: DIAGNOSIS DAN LANGKAH PENCEGAHAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 14 Jun 2020 – Kanser payudara merupakan penyakit yang amat sinonim dengan kaum wanita dan digeruni serta telah dikenalpasti sebagai pembunuh utama wanita.

IMG 20200616 175455

Menurut Pensyarah yang juga Pakar Perunding Patologi (Endokrin & Payudara, Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Wan Faiziah Wan Abdul Rahman, lebih kurang 1 : 19 wanita mendapat kanser payudara di Malaysia.

“Kanser payudara merupakan ketumbuhan dalam payudara akibat daripada sel-sel yang membahagi dan berkembang-biak di luar kawalan sehingga membentuk ketulan atau ketumbuhan,” ujarnya semasa ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat di konti Kelantan FM.

Tambah Wan Faiziah, sel yang bertukar menjadi kanser ini hanya beberapa sel sahaja, namun ia memiliki keupayaan yang luar biasa membahagi dan membiak dengan begitu cepat.

“Di saat pesakit dapat mengesan adanya ketulan pada payudara, sebenarnya terdapat lebih satu billion sel kanser berkumpul membentuk şelonggok tisu kanser yang dikesan sebagai ketulan dan sel-sel kanser ini kemudiannya merebak ke nodus limfa (di celah ketiak) serta bahagian-bahagian lain dalam badan.

“Lebih kurang 85% ketulan dalam payudara merupakan ketumbuhan bukan kanser dan hanya 15% sahaja daripada ketulan tersebut adalah kanser,” ujarnya lagi.

Wan Faiziah berkata, ketulan berkemungkinan kanser sekiranya saiz meningkat dengan cepat, melekat di dasarnya hingga tidak boleh digerak-gerakkan, menarik puting ke dalam, tidak sakit, diiringi ketulan pada nodus limfa di celah ketiak serta mengalami perubahan pada kulit permukaan payudara menjadi seperti kulit limau Sunkist.

“Kebanyakan pesakit yang mempunyai ketulan pada payudara takut untuk berjumpa doktor kerana mereka diminta untuk melalui prosedur yang dipanggil ‘Fine Needle Aspiration Cytology’ (FNAC) atau aspirasi jarum halus.

“Doktor akan mencucuk sedikit pada bahagian ketulan menggunakan jarum halus iaitu jarum yang sama saiz untuk mengambil darah. Sel yang melekat pada jarum ini akan dibuat sapuan pada slaid kaca, dicelup dalam pewarna dan dilihat di bawah mikroskop sama ada sel terbentuk ketulan itu merupakan sel kanser atau bukan kanser,” katanya.

Wan Faiziah menjelaskan, selain FNAC, pesakit juga perlu menjalani ujian Biopsi dengan mengambil cebisan tisu pada ketulan untuk dikaji di bawah mikroskop bagi menentukan rawatan seterusnya termasuk jenis pembedahan dan kemoterapi.

“Para wanita diingatkan supaya mencegah penyakit ini dengan membuat pemeriksaan sendiri payudara sekerap mungkin atau membuat pemeriksaan secara berkala di hospital terutama bagi wanita yang berumur 40 tahun ke atas atau mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser payudara.

“Sekiranya pesakit mempunyai masalah atau kebimbangan, Hospital USM mempunyai unit yang dikhaskan untuk pesakit payudara iaitu Unit Kesedaran dan Penyelidikan Barah Payudara atau
‘Breast Cancer Awareness and Research Unit' (BestARi). Pesakit boleh terus ke unit tersebut atau membuat temujanji dengan menghubungi talian 09-767 4056/4057,” jelasnya lagi.

Teks / Foto : Wan Salizawati Wan Ismail

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Selasa 10 November 2020.
Jumlah Pengunjung
1786637