header text

header text

CAKNA WARGA EMAS: PROGRAM KRIS HOSPITAL USM BERI PENDEDAHAN MASALAH KESIHATAN MENTAL

TUMPAT, KELANTAN, 14 Januari 2023 – Masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di Malaysia semakin meningkat dan ia tidak hanya melibatkan golongan muda sahaja tetapi turut dihidapi oleh golongan warga emas.

Cakna akan kepentingan perkara berkenaan, Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi suntikan dana Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) dengan kerjasama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Tumpat mengambil inisiatif menganjurkan Program Literasi Kesihatan Mental Dalam Kalangan Warga Emas di Dewan Masjid An-Nur, Kota Kubang Labu, di sini, hari ini.
 
IMG 20230114 WA0021
 
Menurut Pengarah Program, Profesor Madya Dr. Asrenee Ab. Razak, melalui program ini warga emas akan diberi kefahaman yang sebenar tentang apa itu masalah kesihatan mental.
 
“Program ini diadakan bertujuan meningkatkan kefahaman dan mengubah stigma masyarakat berkenaan kesihatan mental.
 
“Ramai yang beranggapan kesihatan mental itu adalah sakit mental dan kefahaman tersebut adalah salah. 
 
"Kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan diri seperti kesihatan fizikal, mental, spiritual dan sosial," katanya ketika ditemubual dalam program tersebut.
 
IMG 20230114 WA0022
 
Asrenee yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, menjelaskan bahawa sihat bermaksud kita mampu menyumbang kepada masyarakat secara optimum. 
 
“Sama seperti penyakit lain contohnya pesakit darah tinggi dan diabetes, sekiranya mereka mampu memberi sumbangan terutama dalam pekerjaan maka mereka tidak dikategorikan sebagai sakit.
 
“Bagi masalah kesihatan mental pula, ia adalah perubahan dari segi emosi, tingkah laku, pemikiran yang akan mengganggu kehidupan seharian. 
 
"Contohnya semua orang mengalami anxiety atau keresahan pada tahap yang normal dan ini adalah lumrah biasa. Namun, sekiranya keresahan ini meningkat melebihi tahap biasa sehingga menggangu fungsi kehidupan seharian secara menyeluruh, maka ia boleh dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental,” jelasnya lagi.
 
Tambah Asrenee, lazimnya masalah gangguan kesihatan mental yang dihidapi oleh warga emas adalah seperti nyanyuk, kemurungan, keresahan dan masalah tidur serta rawatannya pula adalah berdasarkan jenis masalah yang dialami. 
 
“Gejala masalah ini adalah berbeza dengan golongan muda. Bagi golongan warga emas, gejala kemurungan biasanya datang bersama sakit-sakit badan, tidak larat, tidak bertenaga, sakit kepala, resah gelisah dan apabila diperiksa ia memenuhi kriteria kemurungan.
 
“Kebiasanya rawatan yang akan diberikan adalah berpandu kepada jenis gangguan terhadap kesihatan pesakit. Contohnya, ubat anti kemurungan bagi yang mengalami masalah kemurungan, ubat anti keresahan bagi masalah keresahan dan ubat untuk melambatkan proses nyanyuk pada peringkat awal.
 
“Selain daripada ubat-ubatan, terdapat juga rawatan secara psikoterapi sokongan iaitu terapi kaunseling kepada pesakit yang kemurungan dan rawatan rangsangan fungsi pemikiran kepada pesakit demensia," ujarnya.
 
Tambah Asrenee, di Klinik Memori Hospital USM, pesakit akan diperiksa bagi menentukan sama ada mereka mengalami masalah ingatan dan fungsi pemikiran selain pemeriksaan fizikal serta status kesihatan mental sebelum diberikan rawatan lanjut.
 
Asrenee turut berharap agar program ini membantu meningkatkan kemahiran serta pengetahuan warga emas seterusnya dapat memberi bantuan awal psikologi kepada diri mereka sendiri atau kepada mereka yang memerlukan.
 
Hadir merasmikan program ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin. Turut hadir ialah Ketua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Tumpat, Wan Fauzi Wan Mamat
 
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 28 Mei 2023.
Jumlah Pengunjung
4000855