KOTA BHARU, KELANTAN, 12 Januari 2023 – Botulinum toxin merupakan neurotoksin yang dihasilkan oleh bakteria Clostriridium Botulinum. Terdapat tujuh jenis botulinum toxin iaitu A, B, C, D, E, F dan G dan kebiasaannya yang paling banyak digunakan dalam bidang perubatan adalah jenis A.
Menurut Pegawai Perubatan, Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Adli Jihad Mohd Bustamin, botulinum toxin mampu menghalang dan melemahkan isyarat daripada saraf kepada otot badan yang menyebabkan otot tidak boleh berfungsi secara biasa.
"Cara botulinum toxin digunakan bergantung kepada kepakaran doktor yang merawat dan secara khususnya, Perubatan Rehabilitasi di Hospital USM melibatkan tiga kepakaran iaitu ‘neuro-rehab’, ‘ortho-rehab’ dan ‘paediatric-rehab’.
“Kita perlu melihat kepada keadaan pesakit itu sendiri contohnya pesakit strok, lumpuh separuh badan yang akhirnya menyebabkan otot badan menjadi keras dan susah untuk bergerak.
"Suntikan botulinum toxin ini mampu mengubah otot yang keras menjadi lembut kerana isyarat daripada saraf ke otot telah dilemahkan," katanya ketika sesi temubual dalam rancangan Sembang Sihat bersama Kelantan FM.
Mohd Adli berkata, hal tersebut memudahkan pesakit mencapai fungsi keadaan seharian seperti memakai baju dan beralih kedudukan selain dapat membantu penjaga menguruskan pesakit berkenaan.
"Pesakit berusia dua tahun ke atas dan tiada penyakit yang boleh memudaratkan adalah sesuai untuk mendapatkan rawatan botulinum toxin.
"Kos untuk sebotol kecil botulinum toxin ini bermula dari RM1,500 sehingga RM2,000 bergantung kepada jenama botulinum toxin dan kegunaannya. Botox dan Dysport adalah dua jenama yang selalu digunakan di Hospital USM.
“Pesakit yang kurang berkemampuan tidak perlu risau kerana bagi golongan B40, harga adalah serendah RM30 sahaja manakala bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) kos rawatan ditanggung oleh kerajaan,” katanya lagi.
Tambah Mohd Adli, rawatan suntikan botulinum toxin juga mempunyai komplikasi tertentu namun pesakit tidak perlu takut.
"Berdasarkan pengalaman saya, sejak bermulanya rawatan ini di Hospital USM pada tahun 2015, jarang berlaku komplikasi kepada pesakit.
“Namun begitu, pesakit turut diberi penerangan sebelum menjalani rawatan berkenaan komplikasi yang berkemungkinan akan timbul.
"Sakit tetap ada sebab ia adalah suntikan jarum, sedikit pendarahan serta kemungkinan lain seperti demam dan alergik pada kulit" jelasnya.
Menurut Mohd Adli, sekiranya berlaku komplikasi yang teruk seperti gangguan pernafasan, pesakit dinasihatkan untuk terus mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Kecemasan yang berdekatan secepat mungkin.
"Kebiasaannya pesakit yang mendapatkan rawatan botulinum toxin di bahagian rehabilitasi sudah mempunyai temujanji atau yang dirujuk oleh doktor setelah menjalani pemeriksaan awal.
"Penilaian sama ada pesakit sesuai ataupun tidak untuk mendapatkan rawatan ini akan dilakukan bersama pakar dan sekiranya sesuai, pesakit hanya perlu hadir temujanji, dapatkan suntikan dan boleh terus pulang," ulasnya lanjut.
Mohd Adli turut menasihatkan orang ramai agar berfikiran terbuka dan jangan menghadkan pandangan terhadap botulinum toxin adalah untuk kecantikan sahaja sebaliknya ia juga berfungsi untuk pelbagai lagi rawatan lain.
"Jangan takut dan segan, jika anda mempunyai masalah yang memerlukan rawatan botulinum toxin, anda boleh mendapatkan rawatan ini sama ada di Hospital USM atau di Hospital Raja Perempuan Zainab II," katanya.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh