GANGGUAN HORMON BERISIKO MEMBAWA MAUT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Disember 2022 - Hormon boleh dikatakan bercelaru apabila paras hormon berada dalam lingkungan yang tidak normal sama ada melebihi paras normal atau berkurangan daripada yang ditetapkan.
 
Gangguan hormon walaupun dikategorikan sebagai tidak berbahaya jika dibandingkan dengan penyakit lain seperti serangan jantung atau strok, namun dalam beberapa keadaan ia masih boleh mengakibatkan pelbagai penyakit dan berisiko membawa maut.
 
Sembang Kecelaruan Hormon
 
Pensyarah Perubatan, Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Tuan Salwani Tuan Ismail, berkata, masalah gangguan hormon bergantung kepada jenis kelenjar yang bermasalah, kerana setiap kelenjar itu menghasilkan hormon tersendiri yang berperanan sebagai penggerak kepada hampir kesemua fungsi badan yang utama.
 
“Gangguan hormon boleh berlaku pada mana-mana kelenjar dan biasanya berlaku pada satu kelenjar sahaja dan tidak di dua tempat serentak serta siasatan akan dilakukan berdasarkan cerita dan keadaan pesakit," katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat di Kelantan FM, di sini.
 
Menurut Tuan Salwani, masalah gangguan hormon yang paling ketara dan banyak berlaku di Malaysia adalah pada kelenjar tiroid.
 
"Jika hormon tiroid terlalu rendah atau dikenali sebagai 'Hipotiroidisme', ia akan menyebabkan berat badan meningkat secara mendadak walaupun sudah mengamalkan pemakanan sihat atau bersenam, penat keterlaluan, tidak tahan sejuk atau sembelit. Dalam keadaan teruk, pesakit boleh pengsan dan keadaan ini dipanggil 'Myxedema Coma'.
 
“Berbeza jika hormon dikeluarkan kelenjar tiroid terlalu tinggi atau dipanggil sebagai 'Hipertiroidisme', ia akan menyebabkan berat badan turun mendadak walaupun selera makan bertambah, sentiasa rasa panas atau jantung berdebar dan apabila tidak dirawat dengan betul, pesakit boleh mendapat satu kondisi yang teruk dipanggil 'Thyroid Storm'," ujarnya lagi.
 
 
Tambah Tuan Salwani, faktor gangguan hormon juga boleh disebabkan oleh kandungan steroid berlebihan dalam ubat. 
 
“Steroid yang diambil oleh pesakit menyerupai hormon kortisol daripada adrenal. Apabila pengambilan ubat yang mengandungi steroid dalam tempoh lama oleh seseorang tanpa pengawasan pakar perubatan, ia menyebabkan kelenjar adrenal 'tertidur' dan ini boleh menyebabkan kekurangan hormon adrenal secara mendadak dan boleh menyebabkan pesakit ‘collapse’ sekiranya hormon tambahan tidak diberikan segera,” jelasnya.
 
Selain itu, menurut Tuan Salwani, kekurangan hormon pertumbuhan (GH) pula boleh menyebabkan masalah tumbesaran jika ia berlaku terhadap kanak-kanak.
 
“Hormon pertumbuhan merupakan hormon yang dihasilkan oleh kalenjar pituitari, sekiranya berlaku kekurangan hormon pertumbuhan terhadap kanak– kanak, kanak-kanak tersebut biasanya mengalami masalah ketinggian yang tidak seiring dengan usia, lambat akil baligh bagi kanak-kanak lelaki dan lewat haid pertama bagi kanak-kanak perempuan.
 
“Sekiranya kelenjar pituitari mengeluarkan hormon berlebihan pula, ia boleh menyebabkan ‘gigantism’ pada kanak-kanak dan ‘akromegali’ pada orang dewasa iaitu tangan, tapak kaki, muka atau anggota badan lain serta organ pada pesakit menjadi besar,” ujarnya lagi.
 
Tuan Salwani turut memaklumkan bahawa ujian darah adalah antara ujian utama yang akan dilakukan untuk membuat saringan tentang masalah kesihatan berkait gangguan hormon.
 
“Datanglah ke fasilii kesihatan pada peringkat awal untuk menjalankan ujian saringan. 
 
“Pesakit juga digalakkan mempunyai sedikit pengetahuan tentang masalah gangguan hormon sebelum mendapatkan rawatan awal agar pegawai perubatan dapat memberikan diagnosis yang tepat dan rawatan yang betul.
 
Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Rabu 01 Februari 2023.
Jumlah Pengunjung
3680024