DULU KONGSI JARUM SUNTIKAN, KINI SEKS BERISIKO PUNCA UTAMA JANGKITAN HIV

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 November 2022 – Trend jangkitan penyakit ‘Human Immunodeficiency Virus’ atau HIV dilihat semakin berubah mengikut peredaran zaman dan kecanggihan teknologi.

Menurut Pengerusi Seminar Kesedaran HIV yang juga Pakar Perubatan Am dan Penyakit Berjangkit, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Alwi Muhd Besari @ Hashim, jika dilihat 10 hingga 15 tahun dahulu, 70 hingga 80 peratus (%) kes jangkitan HIV adalah berpunca daripada perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah. 
 
SAVE 20221128 230231
 
“Namun kini, hampir 95% jangkitan kes HIV adalah berpunca daripada aktiviti seks berisiko iaitu homoseksual antara lelaki dengan lelaki dan hetroseksual, lelaki dengan wanita tetapi saling bertukar-tukar pasangan. 
 
“Berdasarkan statistik di Klinik Penyakit Berjangkit Hospital USM, paling ramai pesakit HIV yang mendapatkan rawatan adalah mereka yang berumur 22 hingga 35 tahun dan ini disebabkan oleh aktiviti yang membawa kepada jangkitan HIV adalah lebih lazim dalam kalangan golongan usia sebegini. 
 
“Aktiviti seperti seks berisiko, perkongsian jarum suntikan dadah berlaku seawal umur 15 hingga 20 tahun dan mereka dikesan menjadi positif setelah beberapa tahun terlibat dalam aktiviti berisiko tersebut,” katanya ketika ditemui di Seminar Kesedaran HIV yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.
 
SAVE 20221128 230217
 
Jelas Alwi, memandangkan isu ini perlu diberi keutamaan dan masyarakat harus diberi kesedaran, maka Seminar Kesedaran HIV kali yang kedua ini diadakan yang mana turut mendapat sambutan daripada peserta pelbagai organisasi seluruh Malaysia seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Pengajar Universiti (HPU), hospital-hospital swasta serta guru-guru.
 
“Matlamat seminar ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan peserta dari aspek cara jangkitan, pencegahan jangkitan, menimbulkan kesedaran iaitu penyakit HIV boleh dirawat seterusnya membantu menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat dalam usaha menjayakan matlamat kerajaan mencapai sifar Aids dan sifar jangkitan baharu HIV pada tahun 2030. 
 
“Peranan ibu bapa juga amat penting kerana aktiviti penularan HIV adalah bermula sejak awal remaja kerana pada masa tersebut mereka berada di rumah. 
 
SAVE 20221128 230207
 
"Ibu bapa perlu mengambil tahu dengan siapa anak mereka berkawan selain turut memantau penggunaan gajet agar tidak disalah guna oleh anak-anak seperti melayari laman lucah, pornografi dan tidak memuat turun aplikasi yang boleh menjurus kepada berlakunya aktiviti-aktiviti seks yang berisiko,” ujarnya lagi.
 
Tambah Alwi, amat penting untuk kita meningkatkan ilmu pengetahuan tentang agama yang diharap mampu menjadi benteng daripada terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membawa kepada jangkitan HIV.
 
“Selain itu, elak diskriminasi, menghukum dan melabel sesiapa sahaja yang dijangkiti HIV dengan stigma yang negatif seperti yang lazimnya berlaku. 
 
"Walaupun majoriti pesakit HIV adalah mereka yang mendapat jangkitan daripada aktiviti yang tidak sihat, namun kita tidak berhak menilai mereka kerana ada pesakit yang mendapat jangkitan bukan disebabkan oleh kesalahan mereka sendiri seperti isteri yang dijangkiti daripada suami serta anak yang dijangkiti daripada ibu,” jelasnya.
 
SAVE 20221128 230225
 
Sementara itu, Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman ketika menyampaikan ucapan perasmian menzahirkan ucapan tahniah kepada Unit Penyakit Berjangkit Hospital USM atau lebih dikenali dengan ‘ID Team’, kerana komited dan aktif dalam menjalankan program pencegahan dan rawatan HIV sama ada di dalam mahupun luar USM. 
 
“Saya difahamkan sejak tahun 2018 lagi mereka giat mengadakan program bersama komuniti dan di sekolah-sekolah seluruh Kelantan untuk memberi kesedaran pencegahan HIV kepada pelajar sekolah termasuk universiti dan kolej bagi memastikan isu sosial dapat dibendung sekaligus mengurangkan risiko peningkatan jangkitan baharu HIV yang kini sangat membimbangkan.
 
"Sangat sayang jika kita biarkan situasi ini terus merebak kerana ia umpama barah yang membiak dalam diam dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyebarkan maklumat serta memastikan misi ‘Ending Aids 2030’ dapat dicapai. 
 
SAVE 20221128 230159
 
"Semoga seminar selama dua hari ini dapat memberi pengetahuan dan informasi penting kepada semua peserta,” katanya.
 
Seminar Kesedaran HIV yang berlangsung selama dua hari, dianjurkan oleh Unit Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Kelab Cegah dan Rawat RVD Kelantan (PeTRic).
 
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Rabu 01 Februari 2023.
Jumlah Pengunjung
3679940