KOTA BHARU, KELANTAN, 27 November 2022 – Fenomena penipuan cinta atau ‘love scam’ dilaporkan semakin berleluasa pada skala global berdasarkan bilangan yang dilaporkan di peringkat antarabangsa. Manakala di Malaysia sahaja sebanyak 1,535 kes dilaporkan pada 2020, yang mana melibatkan kerugian berjumlah RM 58.33 juta.
Walaupun pelbagai kempen, iklan, pengumuman, seminar dan usaha dilakukan kerajaan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, namun ‘love scam’ tetap berlaku di negara kita.

Menurut Pensyarah Kanan Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Geshina Ayu Mat Saat, penipuan cinta ialah helah yang melibatkan niat romantis palsu terhadap mangsa, mendapatkan kasih sayang daripada mangsa dan kemudian menggunakan ikatan emosi atau kepercayaan untuk melakukan penipuan serta mendapatkan ganjaran.
“Ganjaran tersebut biasanya dalam bentuk ketara seperti wang, telefon bimbit, seks, harta atau tidak ketara seperti pekerjaan, melancong, kenaikan pangkat, akses kepada organisasi, kumpulan, atau sistem.
“Penipuan cinta adalah jenayah jangka panjang yang memerlukan beberapa hari, minggu atau bulan untuk mendapatkan hasil dan jenayah ini melibatkan 'props' (alat peraga), pelaburan peribadi si penipu, skrip serta jaringan tipu daya.
“Tidak seperti penipuan lain, penipuan cinta adalah sangat peribadi kerana mangsa dipengaruhi oleh ciri percintaan dalam penipuan tersebut,” ujarnya ketika ditemubual dalam program Sembang Sihat, Kelantan FM, di sini.
Geshina berkata, lumrah hidup manusia ingin bercinta dan dicintai, namun ada sesetengah individu yang agak keterlaluan dan terdesak untuk mencari cinta serta melakukan sesuatu yang sebenarnya membawa padah kepada diri sendiri.
“Kebanyakan individu seperti itu mencari pasangan dalam laman sesawang yang mencurigakan, mudah dan cepat tertarik dengan gambar dan maklumat yang dimuat naik oleh bakal pasangan, atau membuat keputusan tanpa berfikir panjang.
“Berdasarkan dapatan kajian, terdapat sekurang-kurangnya enam (6) tipologi atau jenis golongan mangsa seperti tahap pengetahuan, faktor rentan, personaliti bakal mangsa, memberi kerjasama, jenis dan jumlah kerugian dan kemungkinan mangsa membuat laporan polis.
“Tiada taktik khusus yang digunakan dalam kes sebegini, pelbagai kaedah dan taktik digunakan untuk memaksimakan ganjaran yang bakal diperoleh daripada mangsa dan memperdaya mangsa sehingga mangsa merasakan bahawa penipuan ini bukan sesuatu yang menyalahi undang-undang,” jelasnya lagi.
Tambah Geshina, bagi mengatasi masalah penipuan ‘love scam’ ini, masyarakat perlu lebih berilmu agar tidak menjadi sasaran yang mudah. Contohnya, mengambil tahu tips pencegahan, apakah faktor-faktor rentan dan sebagainya.
“Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak mudah terpesona dengan gambar profil cantik atau tampan yang digunakan di media sosial serta tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang ditaburkan oleh rakan yang baru dikenali.
“Selain itu, kita juga perlu berhati –hati memilih rakan melalui media sosial atau alam maya serta tidak sesekali mendedahkan nombor akaun bank, identiti diri dan keluarga kepada mana-mana individu tidak dikenali atau baharu dikenali di internet,” katanya.
Geshina turut menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu dulu di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi 'Semak Mule CCID' sebelum membuat sebarang transaksi.
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh