HARI DIABETES SEDUNIA 2022: PELBAGAI PERINGKAT UMUR DAPAT MANFAAT

KOTA BHARU, KELANTAN, 5 November 2022 – Dalam usaha untuk memastikan kesedaran terhadap bahaya penyakit Diabetes Melitus kepada individu dan masyarakat khususnya di Negeri Kelantan, Pusat Diabetes Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dan Diabetes Malaysia Cawangan Kelantan menganjurkan Sambutan Hari Diabetes Sedunia peringkat USM di MYDIN Mall Tunjong, hari ini.

SAVE_20221105_210930.jpg

Program yang mendapat suntikan dana melalui Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perubatan Keluarga, Persatuan Perubatan Keluarga (FAMOUS), Jabatan Ortopedik, Jabatan Farmasi, Pakar Pemakanan, Persatuan Gula dan Garam, Jabatan Oftamologi dan Sains Visual, Unit Perubatan Pemulihan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital USM dan beberapa syarikat perubatan.

SAVE_20221105_210758.jpg

Menurut Pengerusi Program merangkap Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Dr. Siti Suhaila Mohd Yusoff, program ini dianjurkan ekoran peningkatan angka bilangan kes diabetes yang amat membimbangkan kerana hampir empat (4) juta penduduk Malaysia menghidap diabetes. 

"Prevalen penyakit diabetes di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia dan Malaysia juga adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Arab Saudi. 

SAVE_20221105_210916.jpg

"Berdasarkan maklumat Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat daripada 13.4 peratus (%) pada 2015 kepada 18.3% pada tahun 2019.

“Laporan ini turut menunjukkan bahawa satu (1) dalam lima (5) individu dewasa berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes atau bersamaan dengan 3.9 juta penduduk Malaysia," katanya ketika ditemubual selepas majlis perasmian program tersebut.

SAVE_20221105_210859.jpg

Tambah Siti Suhaila, tinjauan ini juga menunjukkan 50% daripada pesakit diabetes tidak sedar bahawa mereka menghidap penyakit tersebut.

“Oleh itu, program kesedaran mengenai penyakit diabetes dan aktiviti saringan adalah salah satu inisiatif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit diabetes dan strategi amalan cara hidup yang sihat seperti aktiviti fizikal dan amalan pemakanan yang betul untuk mengelak penyakit ini.

SAVE_20221105_210806.jpg

"Setiap tahun, Hari Diabetes Sedunia akan disambut di seluruh dunia dengan tema yang sama dan tema Sambutan Hari Diabetes Sedunia pada tahun 2019 hingga 2023 adalah ‘Akses Kepada Penjagaan Diabetes: Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi?’," ujarnya lagi.

Jelas Siti Suhaila, tema ini merangkumi empat komponen asas mengenai penjagaan diabetes iaitu pertama akses kepada rawatan ubat-ubatan dan insulin, kedua adalah akses kepada pemantauan kendiri, ketiga akses kepada pendidikan dan sokongan psikososial serta keempat akses kepada pemakanan sihat dan aktiviti fizikal.

SAVE_20221105_210923.jpg

“Program yang diadakan ini turut memberi peluang kepada pengunjung untuk melakukan pemeriksaan di mana pesakit dan orang awam boleh mengetahui apa itu diabetes, cara mengawal dan di mana hala tuju pesakit diabetes jika tidak dapat mengawal kencing manis mereka.

“Selain itu, turut diadakan aktiviti menyantuni golongan yang tidak berpeluang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik," katanya.

SAVE_20221105_210834.jpg

Sementara itu, seorang pengunjung yang hadir, Musthafa Othman, 58, ketika ditemui menyuarakan pendapatnya, program ini sangat bermanfaat terutama bagi individu yang jarang melakukan pemeriksaan kesihatan. 

"Pemilihan lokasi program ini sangat strategik kerana pengunjung dapat melakukan pemeriksaan kesihatan selain datang untuk membeli belah.

SAVE_20221105_210825.jpg

"Program ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan memberi kesedaran tentang penyakit diabetes serta kepentingan untuk mendapatkan rawatan terbaik dengan kadar segera,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

SAVE_20221105_210817.jpg

Pelbagai aktiviti menarik telah diisi sepanjang program antaranya pameran pemakanan dan kesihatan, pertandingan makanan sihat, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan dikir barat dan cabutan bertuah.

SAVE_20221105_210847.jpg

Hadir merasmikan program ini ialah Penaung Diabetes Malaysia Cawangan Kelantan, Yang Berhormat Mulia Dato’ Hajah Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra. Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Samsuddin, Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, PPSP USM merangkap Pengerusi Diabetes Malaysia Cawangan Negeri Kelantan, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Izani Wan Mohamed dan Penyelaras Klinik Saringan Infeksi Hospital USM merangkap Pengerusi Persatuan Perubatan Keluarga USM (FAMOUS), Dr. Nur Suhaila Idris. 

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail & R. Alia Fazni R. Azmi / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Rabu 30 November 2022.
Jumlah Pengunjung
3484433