LAPAN PESAKIT JANTUNG KANAK-KANAK JALANI PEMBEDAHAN DI BAWAH PROGRAM 'HEALING LITTLE HEARTS'

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Oktober 2022 –  Pasukan perubatan Yayasan 'Healing Little Hearts' (HLH) dari United Kingdom terus menabur bakti dengan melakukan pembedahan ke atas pesakit jantung kongenital Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dalam siri lawatan kali ke lapan (8) ke hospital ini sejak tahun 2015. 

SAVE 20221027 203403

Penyakit jantung kongenital adalah salah satu penyakit utama dalam kalangan kanak-kanak yang melibatkan kira-kira lapan kes dalam setiap seribu kelahiran. 

SAVE 20221027 203419

Menurut Pakar Kardiologi Pediatrik Hospital USM yang juga Penyelaras Program Kebajikan Kardiotorasik USM - HLH, Dr. Mohd Rizal Mohd Zain, Hospital USM bekerjasama dengan pasukan perubatan HLH yang diketuai oleh Dr. Edward Peng telah berjaya melakukan lapan (8) pembedahan terhadap pesakit berumur dua (2) bulan hingga 13 tahun dalam masa lima (5) hari lawatan mereka kali ini. 

SAVE 20221027 203428

“Pasukan perubatan HLH yang tiba di Hospital USM pada 23 Oktober lalu terdiri daripada lapan (8) petugas termasuk tiga (3) Pakar Kardiotorasik Pediatrik, dua (2) Pakar Pediatrik Kardiologi Intensif, dua (2) Jururawat serta seorang Perfusionis bergerak secara sukarela dengan mendapat bantuan kewangan melalui sumbangan orang ramai. 
 
“Dalam setiap siri lawatan pasukan perubatan HLH ke Hospital USM, dianggarkan kira-kira RM150,000 diperuntukkan untuk kos keseluruhan pembedahan jantung kongenital yang biasanya dijadualkan dilakukan kepada 10 orang pesakit. 
 
SAVE 20221027 203354
 
“Kos pembedahan bagi penyakit jantung kongenital biasanya mencecah RM40,000 hingga RM50,000 bagi setiap kes di hospital-hospital lain. Menerusi program ini, pesakit tidak perlu menanggung kos rawatan yang tinggi kerana sebahagian besar kos tersebut ditanggung oleh Hospital USM, Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) yang diasaskan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan dan Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADU),” katanya ketika ditemubual. 
 
Tambah Mohd Rizal, terdapat lebih 30 orang pesakit menunggu giliran untuk menjalani pembedahan, namun disebabkan oleh pelbagai kekangan terutamanya kewangan, ramai yang terpaksa menunggu lama dan Program Kebajikan Kardiotorasik USM-HLH ini sangat membantu pesakit terutamanya golongan B40. 
 
“Sehingga kini, seramai 78 pesakit jantung kanak-kanak berjaya menjalani pembedahan hasil kerjasama antara Hospital USM dengan pasukan perubatan Yayasan HLH. 
 
SAVE 20221027 203411
 
“Di samping membantu melakukan pembedahan ke atas pesakit, pasukan perubatan HLH turut melaksanakan proses pemindahan ilmu, kepakaran dan penggunaan peralatan yang canggih dari luar negara dalam melatih doktor-doktor di Hospital USM,” ujarnya lagi. 
 
SAVE 20221027 203435
 
Mohd Rizal turut berharap agar program kebajikan ini berterusan pada tahun-tahun akan datang bagi membantu lebih ramai pesakit jantung kanak-kanak menjalani pembedahan sekaligus membantu mengurangkan beban keluarga pesakit yang berhadapan dengan kos pembedahan yang tinggi. 
 
“Besarlah harapan kami agar program ini mendapat perhatian lebih ramai pihak untuk membantu membiayai keperluan membawa pasukan perubatan HLH dengan lebih kerap bagi membolehkan pembedahan pesakit dijalankan dengan lebih banyak lagi. 
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Rabu 30 November 2022.
Jumlah Pengunjung
3484436