USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 September 2022 – Rabun adalah salah satu penyebab kekaburan penglihatan yang biasa dihadapi oleh sesiapa sahaja tidak mengenal usia dan jantina. Dari segi saintifik, rabun boleh dibahagikan kepada beberapa ketegori seperti rabun jauh (miopia), rabun dekat (hiperopia) dan rabun silau (astigmatism).
Masalah rabun boleh dikesan melalui pemeriksaan tahap akuiti visual, keseluruhan struktur mata dan pengukuran refraktif.

Menurut Pakar Perunding yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohtar Ibrahim, ujian tahap penglihatan yang dilakukan oleh optometris biasanya dengan cara meminta pesakit membaca carta Snellen yang terdapat dalam pelbagai versi terdiri daripada huruf, nombor ataupun bentuk E.
“Setelah keputusan pemeriksaan diperoleh, penentuan rawatan akan diberikan kepada pesakit untuk membuat pilihan rawatan seterusnya.
“Terdapat pelbagai pilihan rawatan bagi pesakit rabun disebabkan kelainan refraktif. Namun, cara yang biasanya menjadi pilihan ialah cara tidak kekal dan cara kekal,” ujarnya ketika ditemubual menerusi rancangan sembang Sihat Kelantan FM, di sini.
Mohtar berkata, bagi cara tidak kekal, rawatan yang paling popular ialah penggunaan cermin mata dan kanta sesentuh (contact lens) manakala bagi cara kekal pula, rawatan yang dijalankan adalah seperti penggunaan kanta intra-ocular serta pembedahan laser refraktif iaitu kaedah rawatan pada kornea secara laser sepenuhnya.
“Pembedahan laser refraktif biasanya melibatkan tiga cara utama iaitu PRK (Photo-Refractive Keratectomy) atau rawatan permukaan, LASIK (Laser Assisted Keratomeliusis) dan SMILE (Small Insicion Lenticule Extraction).
“Pembedahan laser refraktif melibatkan pembentukan semula permukaan kornea untuk membolehkan cahaya difokuskan ke fovea dan menghilangkan rabun yang ada serta mengembalikan penglihatan seperti normal,” katanya lagi.
Tambah Mohtar, kebanyakan pesakit memilih rawatan laser refraktif supaya mereka dapat melihat dengan jelas tanpa memakai cermin mata dan dapat melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah.
“Namun begitu, bukan semua masalah rabun boleh menjalani rawatan ini, sebaliknya pesakit perlu dilihat dari aspek tahap rabun, ketebalan kornea dan bentuk permukaan hadapan serta belakang kornea mereka terlebih dahulu.
“Kaedah laser refraktif lebih selamat, berkesan, berisiko rendah, selesa, efektif dan kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan ini dapat melihat dengan lebih baik dalam masa beberapa hari selepas pembedahan,” jelasnya lanjut.
Mohtar turut memaklumkan kepada yang berminat untuk melakukan pemeriksaan lanjut dan ingin tahu mengenai kesesuaian, kelebihan, kesan sampingan, rawatan alternatif serta mengemukakan sebarang persoalan mengenai pembedahan ini, mereka boleh menghubungi Perkhidmatan Laser Refraktif, Hospital USM di talian 09-7674252 atau 09-7674253.
Teks: Anawiah Abdul Aziz / Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman