MAT HUSSIN WIRA TIDAK DIDENDANG DERMA DARAH 125 KALI SEJAK UPT DITUBUHKAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Ogos 2022 – Pengorbanan kepada negara boleh terlahir dalam pelbagai cara. Pejuang serta pemimpin terdahulu berkorban memerdekakan tanah air. 

SAVE 20220831 073400

Lain pula bagi Mat Hussin Yusoff, 58, pengorbanan beliau terzahir menerusi perbuatannya yang suka menderma darah.

Beliau tidak pernah mengharapkan jasanya disanjung, jauh sekali diberi anugerah atau pingat, namun bagi lelaki bersosok tubuh kecil ini kehidupannya bagaikan tidak lengkap sekiranya beliau tidak menderma darah. 

SAVE 20220831 073416

Sejak pertama kali melangkah ke alam pekerjaan dan mendaftar diri sebagai staf Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) pada 15 Ogos 1984, beliau memasang niat ingin menjadi penderma darah kepada pesakit Hospital USM kerana beranggapan itu sahaja khidmat atau sumbangan yang beliau mampu berikan kepada pesakit. 

Niatnya itu dilunaskan apabila Hospital USM menubuhkan Unit Perubatan Transfusi (UPT) atau lebih dikenali ‘tabung darah’ sebagai tempat untuk menderma darah. 

SAVE 20220831 073410

Sepanjang 38 tahun perkhidmatannya di Hospital USM, Mat Hussin yang bakal bersara pada 20 September nanti telah menderma darah sebanyak 125 kali dan memiliki lima (5) buah buku rekod derma darah. 

Bercerita mengenai sikapnya yang suka menderma darah, Mat Hussin yang bertugas di Seksyen Melipat, Bahagian Perkhidmatan Dobi, Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am, Hospital USM, memberitahu, setiap orang perlu mengenalpasti platform yang boleh menyumbang bukan sahaja wang, tenaga dan masa tetapi keperluan yang boleh membantu menyelamatkan nyawa orang lain. 

SAVE 20220831 073351

“Saya tidak pernah terpikir untuk diangkat sebagai wira atas sumbangan kecil saya ini, namun saya berasa sangat bangga kerana dapat menunaikan tanggungjawab serta membantu mereka yang memerlukan. 

“Menderma darah tidak perlu mengeluarkan modal tetapi ia sedikit sebanyak membantu para penderma mengesan penyakit lain lebih awal sebelum ianya memudaratkan kesihatan dan menjadi lebih parah,” ujarnya. 

Bapa kepada enam cahaya mata ini berhasrat untuk terus menderma darah selagi termampu bergantung kepada tahap kesihatannya walaupun telah bersara nanti. 

SAVE 20220831 073425

“Apabila bergelar penderma darah tetap, saya merasakan kehidupan saya bagaikan tidak lengkap sekiranya tidak menderma darah setiap tiga (3) bulan sekali. 

“Sesibuk manapun saya bekerja, saya tetap akan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu (1) jam untuk ke UPT bagi menderma darah kerana hanya ini sahaja sumbangan yang mampu saya berikan dan saham untuk bekalan akhirat,” jelasnya lagi. 

Mat Hussin yang bakal menamatkan khidmatnya sebagai Pembantu Awam H14 turut berpesan agar generasi muda khususnya staf- staf baharu Hospital USM menyedari kepentingan menderma darah untuk kesihatan badan masing-masing.

"Badan akan sentiasa berasa sihat apabila kita sering menderma darah dan pada masa yang sama kita boleh menyelamatkan tiga nyawa hasil daripada setiap pek darah yang didermakan. 

“Alhamdulillah, saya dikurniakan kesihatan yang baik dan tidak mengalami sebarang masalah setiap kali menderma darah,” katanya. 

Mat Hussin yang merupakan penderma darah jenis A berkata, sebanyak 450 milimeter darah diberikan setiap kali menderma. 

“Setiap kali UPT membuat hebahan kekurangan stok darah, saya mula berasa gelisah dan akan mewar-warkan kepada rakan-rakan untuk tampil membantu menderma darah.

"Saya juga menyarankan kepada  masyarakat untuk mengambil peluang bergelar penderma darah kerana sumbangan kita ini pastinya sangat membantu mereka yang memerlukan darah,” rayunya lagi. 

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Selasa 04 Oktober 2022.
Jumlah Pengunjung
3313772