GARAPAN KISAH ZULPAKAR BERSAMA AMBULANS DAN VAN JENAZAH

USM KUBANG KERIAN, 30 Ogos 2022 - "Bila saya bawa pesakit atau hantar jenazah, itu merupakan satu kepuasan untuk diri saya bukan sahaja kerana komitmen kerja malah secara tidak langsung saya dapat menolong masyarakat", demikian luahan hati Zulpakar Mahmood, salah seorang pemandu di Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM). 

SAVE 20220830 110304

Zulpakar yang melapor diri sebagai Pemandu pada 1 Jun 2006, ternyata gembira dengan kerjaya yang disandang. Berkongsi pengalaman sepanjang tempoh perkhidmatan, bapa kepada dua (2) orang anak ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang pemanduan termasuk pernah bekerja sebagai pemandu bas ekspres. 

"Pengalaman bekerja sebelum ini banyak membantu saya dalam menjalani proses kerja di USM yang mana pada peringkat awal bekerja, saya bertanggungjawab untuk membawa tetamu luar atau pengurusan tertinggi universiti yang datang ke Kampus Kesihatan.  Tetapi selepas lapan (8) bulan, saya memohon untuk bekerja secara shif pula. 

IMG 20220830 112057

"Kebetulan pada masa itu, ada kekosongan untuk pemandu ambulans dan saya menerima penempatan tersebut dengan lapang dada kerana sebagai pemandu ambulans, saya bekerja mengikut shif yang ditetapkan oleh penyelia," ujarnya ketika ditemubual. 

Berkongsi cerita sepanjang beliau menjadi pemandu ambulans, pelbagai kenangan manis, getir dan mendebarkan pernah dilalui semasa menghantar pesakit dan jenazah sama ada bersendirian mahupun ditemani keluarga pesakit atau rakan pemandu yang lain. 

SAVE 20220830 110311

"Pernah satu hari, saya ditugaskan untuk hantar pesakit yang balik ke rumah ditemani oleh ibu beliau. Dalam perjalanan, si ibu memberitahu tiada sebarang respon daripada anak beliau, dan pada waktu itu, saya terus memberhentikan ambulan bagi memeriksa apa yang sedang berlaku sebagaimana yang dimaklumkan oleh si ibu. 

"Setelah diperiksa, ternyata pesakit tidak lagi bernafas dan tiada denyutan nadi. Disebabkan pesakit memang mempunyai penyakit kronik dan tidak ada harapan untuk sembuh, ibu beliau menerima apa yang berlaku serta terus menghubungi keluarga untuk membuat persiapan sepatutnya," cerita beliau lagi. 

SAVE 20220830 110250

Menurut Zulpakar, perjalanan diteruskan tanpa sebarang kata.  Dalam situasi sebegitu, beliau dapat melihat kesedihan si ibu dan merasakan perjalanan untuk sampai ke rumah pesakit terlalu jauh. 

"Setibanya di destinasi, saya bersama-sama ahli keluarga mengusung 'jenazah' naik ke rumah dan diletakkan di atas tilam yang telah disediakan. Sebaik sahaja diletakkan, 'jenazah' bangun dan meminta air dari kakak beliau. Apalagi, semua yang ada terkejut dan pada masa yang sama, saya terus turun dari rumah, hidupkan enjin ambulans dan pecut balik ke hospital tanpa berhenti di mana-mana pun. 

SAVE 20220830 110318

"Dalam fikiran saya pada saat itu, hanya mahu cepat sampai di ofis, kalau perjalanan pergi tadi saya dapat rasakan jalan yang berlubang, bersimpang-siur, tetapi semasa pulang setelah insiden berkenaan, tidak terasa ada lubang-lubang atau lopak walaupun melalui jalan yang sama," laju bicaranya bercerita sambil ketawa mengingati semula insiden tersebut. 

Menyoroti pelbagai kenangan yang dilalui, hakikatnya tugas tersebut banyak memberi peluang untuk Zulpakar menyumbang kepada masyarakat. 

"Saya pernah menguruskan jenazah hingga ke liang lahad kerana ahli keluarga si mati kebanyakannya adalah wanita dan menjadi tanggungjawab saya untuk membantu. 

"Sememangnya kerja ini memberi ruang yang sangat luas untuk saya membantu mereka yang memerlukan kerana saya suka bercampur dengan masyarakat dan menolong setakat yang termampu," jelasnya. 

Dalam komitmen memikul tanggungjawab di pejabat, Zulpakar sangat berterima kasih kepada isteri dan anak-anak yang memahami situasi kerja beliau dan sentiasa memberi sokongan. 

"Selain keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang, saya juga bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan setugas yang saling menyokong serta membantu pada bila-bila masa.  

"Ini juga menjadi kekuatan kepada saya dalam melaksanakan tugas harian dengan penuh semangat. 

"Kepada mereka yang baru mendapat pekerjaan, berlapang dada menerima tugasan yang diberikan kerana dengan cara itu, kita akan sentiasa rasa gembira dengan kerjaya kita," ujar beliau mengakhiri perbualan. 

Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto:  Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Selasa 04 Oktober 2022.
Jumlah Pengunjung
3313835