header text

header text

KEPENTINGAN TINGKAH LAKU SENAMAN TERHADAP KESIHATAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 7 Ogos 2022 – Umum mengetahui tentang kebaikan aktiviti fizikal atau bersenam terhadap kesihatan tubuh badan manusia. Dengan bersenam, risiko penyakit kronik seperti obesiti, darah tinggi atau kencing manis dapat dielak. Namun, masih ramai individu dewasa yang tidak melakukan aktiviti fizikal atau senaman dengan secukupnya. 
 
Pensyarah Program Sains Senaman dan Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Adam Abdul Malik berkata, antara punca utama berlakunya permasalahan ini adalah sikap dan tingkah laku seseorang. 
 
“Tingkah laku seseorang mempunyai hubung kait dengan tahap kesihatan secara keseluruhan.
 
"Perubahan tingkah laku senaman adalah perkara yang sukar untuk dimulakan dan ia boleh menjadi lebih mencabar untuk mengekalkannya dalam jangka waktu panjang.
 
SAVE 20220807 121627
 
"Proses pembentukan tingkah laku senaman adalah sesuatu yang kompleks dipengaruhi oleh faktor luaran seperti sokongan sosial, keadaan cuaca dan  kemudahan lebih cenderung untuk mempengaruhi pembentukan tingkah laku disokong oleh faktor dalaman seperti berasa gembira atau nikmat terhadap senaman yang dilakukan dan kawalan kendiri terhadap pemilihan senaman yang boleh mengekalkan perubahan tingkah laku dalam jangka waktu yang panjang jika dibandingkan dengan faktor luaran,” katanya ketika ditemubual di konti Radio Kelantan FM.
 
Menurut Adam, pelbagai strategi boleh dilakukan dengan menumpukan terhadap faktor dalaman untuk menggalakkan amalan bersenam atau aktiviti fizikal dalam kalangan orang dewasa.
 
Tambah Adam, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), golongan dewasa berusia 18 tahun dan ke atas perlu melakukan 150 minit aktiviti fizikal yang berintensiti sederhana setiap minggu.
 
"Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati satu (1) daripada empat (4) orang dewasa adalah tidak aktif fizikal.
 
“Antara alasan utama yang sering digunakan untuk tidak melakukan aktiviti fizikal atau senaman ialah tiada masa untuk bersenam, tiada tenaga dan berasa letih untuk melakukan aktiviti senaman serta kurang motivasi untuk bersenam," ujarnya.
 
Adam berkata, kajian menunjukkan hampir 50% peserta yang terlibat dengan sebarang program senaman akan menarik diri selepas tiga (3) hingga enam (6) bulan berpunca daripada perubahan tingkah laku yang disebabkan oleh alasan-alasan tersebut.
 
Menurut beliau, manusia mempunyai satu kecenderungan untuk memilih sesuatu aktiviti yang boleh membawa keselesaan dan keseronokan serta tidak membebankan dan mengelak mana-mana aktiviti yang boleh membawa kemudaratan terhadap diri mereka sendiri.
 
"Kecenderungan ini akan menyebabkan pengekalan atau konsistensi terhadap tingkah laku dalam jangka masa yang panjang dan aktiviti yang menyeronokkan akan meningkatkan motivasi seseorang untuk mengulangi tingkah laku tersebut dari semasa ke semasa.
 
"Antara strategi yang boleh dilakukan ialah dengan mendengar muzik sewaktu bersenam, memilih intensiti senaman yang sesuai semasa bersenam, memilih jenis senaman mengikut minat dan melakukan aktiviti senaman secara berkumpulan," katanya.
 
Beliau turut menekankan kepentingan aktiviti fizikal dan senaman adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh. 
 
"Individu yang cergas mampu melakukan pelbagai perkara daripada mengangkat barang yang berat hinggalah menaiki tangga tanpa sebarang masalah.
 
"Malah, bukan itu sahaja, senaman juga mempunyai pelbagai kebaikan terhadap kesihatan mental, sistem kardiovaskular, sistem pernafasan dan kondisi fizikal seseorang pada masa hadapan," ulasnya lanjut.
 
Teks : Mohamad Hairol Rasli / Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 28 Mei 2023.
Jumlah Pengunjung
4005682