USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Julai 2022 - Seramai 46 orang staf Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dari Jabatan Perubatan Keluarga (JPK), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Kampus Kesihatan USM dengan kerjasama Persatuan Perubatan Keluarga USM (FAMOUS) dan SAHABAT IKBAR Kelantan berkampung di Kampung Bahagia, Kuala Krai, selama dua (2) hari iaitu pada 22 dan 23 Julai lalu sebagai sebahagian daripada pengisian program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM).
Walaupun terpaksa menempuh perjalanan laluan air dan darat menggunakan pacuan empat roda serta bot panjang, namun ianya langsung tidak mematahkan semangat warga Hospital USM dalam menyantuni penduduk agar program ini mencapai matlamat.
Kehadiran pasukan saringan kesihatan ini nyata disambut penuh meriah oleh penduduk kampung yang diketuai oleh Imam Tua Masjid Kampung Bahagia, Haji Muhammad Saad. Sebilangan penduduk juga bersama - sama membantu untuk mengangkat barangan yang dibawa petugas kesihatan ke kawasan masjid usai ketibaan pasukan saringan kesihatan ini di perkampungan mereka.
Pelbagai program saringan kesihatan ditawarkan kepada hampir 900 orang penduduk oleh pihak Hospital USM pada program kali ini.
Antaranya penduduk kampung didedahkan dengan dua program latihan iaitu latihan agen pemantau saringan risiko kardiovaskular (jantung) yang bertujuan memberi pendedahan awal berkaitan mengawasi risiko penyakit jantung dan latihan generasi bebas tanpa amalan merokok dan 'vaping' melibatkan 67 orang pelajar sekolah serta perkhidmatan pameran dan klinik berhenti merokok.
Ketua Jabatan Perubatan Keluarga (JPK), PPSP USM, Dr. Imran Ahmad mewakili Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM dalam ucapan perasmiannya berkata, program 'Outreach Health Screening' sempena JAKM yang dinaungi oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini adalah salah satu usaha berterusan pihak kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Melalui program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS), pasukan Hospital USM konsisten menyantuni seluruh lapisan masyarakat dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan yang terdapat di Hospital USM dan membawa perkhidmatan ini ke luar premis untuk memberikan perkhidmatan terutamanya kepada penduduk luar bandar.
"Sejajar dengan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang berfokuskan kelestarian dan salah sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU), USM berhasrat agar masyarakat sentiasa cakna mengenai tahap kesihatan mereka bagi melahirkan warga negara sihat sejahtera", ujarnya.
Menurut Imran, beliau mengambil kesempatan mewakili pihak pengurusan USM mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KPT kerana memberi peluang kepada USM untuk bersama - sama menjayakan program JAKM ini dan menzahirkan penghargaan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Bahagia serta seluruh penduduk yang menjayakan program ini.
"Besarlah harapan saya agar program di Kampung Bahagia bersama pihak Kampus Kesihatan USM ini akan berterusan memandangkan pihak JPK dan FAMOUS USM telah menjadikan kampung ini sebagai kampung angkat," tambahnya lagi.
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Kerja Kampung Bahagia, Mohd Zain Ab Rasid, pula berkata, bagi pihak penduduk itu beliau sangat teruja dalam meraikan tetamu daripada Hospital USM dan telah bersepakat menumbangkan seekor lembu untuk program 'bekwoh'.
"Kami sepakat memasak juadah makan tengah hari untuk dihidangkan kepada warga kerja Hospital USM selepas majlis perasmain bersama penduduk kampung," katanya.
Program ini turut dihadiri oleh Pengerusi Program 'Outreach Health Screening' Kampung Bahagia, Dr. Lili Husniati Yaacob dan Penolong Kanan Pentadbiran, Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Bahagia, Razali Mat Hussin.
Teks : Mohamad Iqmal Mathlan / Foto : Wan Mohd Rashidi Wan Mood