WHO BEKERJASAMA DENGAN USM KUKUHKAN KAPASITI PENJUJUKAN GENOM VIRUS SARS-COV-2

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Jun 2022 – Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan daripada wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura sempena lawatan kerja dan perbincangan kolaborasi untuk memperkukuhkan kapasiti penjujukan genom. 
 
Pada Disember 2021, WHO dan Kesatuan Eropah (EU) telah menyumbang kemudahan penjujukan genom secara keseluruhannya (WGS) kepada Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Hospital USM melalui Program Tindak Balas dan Kesediaan Pandemik COVID-19 WHO dan EU Asia Tenggara yang dilancarkan pada Jun 2021. 
 
SAVE 20220627 204302
 
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, berkata, dengan adanya kerjasama WHO serta disokong oleh EU, Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi, Hospital USM akan meningkatkan lagi kapasiti ujian dan menyumbang ke arah yang lebih baik bagi memahami varian virus SARS-CoV-2 yang tersebar di negeri Kelantan khususnya dan Malaysia amnya. 
 
“Virus SARS-CoV-2 adalah virus yang dikesan menjadi punca terhadap wabak COVID-19. Penjujukan genom adalah penting untuk menjejaki evolusi berterusan varian virus, memantau penyebaran penyakit dan membangunkan ujian diagnostik, vaksin serta alatan lain untuk bertindak balas terhadap penyakit ini. 
 
“Oleh itu, mempunyai kapasiti makmal untuk menjalankan penjujukan genom secara keseluruhan (WGS) adalah tepat pada masanya sebagai langkah membantu dan menyediakan negara untuk menangani wabak pada masa hadapan,” ujarnya. 
 
SAVE 20220627 204317
 
Menurut Faisal Rafiq, dengan sokongan teknikal daripada WHO dan pembiayaan daripada EU, Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Hospital USM telah menjadi salah satu makmal rujukan WGS di Malaysia. 
 
“Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Hospital USM boleh menjalankan penjujukan dengan pantas menggunakan peralatan 'Oxford Nanopure Technology' WGS (Whole Genome Sequencing) yang baru di bekalkan oleh WHO.
 
"Natijahnya, kami akan mampu berkongsi data jujukan genom varian virus yang dikenal pasti di Malaysia selain turut menyumbang kepada pengawasan global melalui Pengkalan Data GISAID dan pembangunan ujian diagnostik serta penghasilan vaksin. 
 
SAVE 20220627 204310
 
"Kami gembira kerana menjadi sebahagian daripada program ini untuk membantu pemahaman lanjut tentang musuh yang tidak diketahui:  SARS-CoV-2," katanya lagi.
 
Beliau berkata, dengan adanya sumbangan ini, USM akan turut memperkaya pangkalan data pada masa hadapan, di samping boleh terlibat aktif dalam pembangunan calon vaksin dan menambah baik aspek penjagaan pesakit COVID-19.
 
Faisal Rafiq turut berharap agar kerjasama ini akan berkembang ke tahap yang lebih tinggi terutama dalam bidang lain yang berkait dengan kesihatan. 
 
IMG 20220627 204908
 
Perbincangan kolaborasi untuk memperkukuhkan kapasiti penjujukan genom pada hari ini turut mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk wakil Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) yang turut dijemput menyertai perbincangan itu.
 
Sementara itu, wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Rabindra Abeyasinghe, pula berkata, walaupun Malaysia dan negara lain bergerak ke arah peralihan fasa endemik, namun perlu diingatkan bahawa COVID-19 masih lagi berada di persekitaran kita. 
 
“Negara mungkin bakal menyaksikan semula lonjakan kes ekoran kemunculan varian baharu disebabkan oleh pematuhan yang lemah terhadap prosedur operasi standard (SOP) kesihatan awam dan langkah sosial yang bertujuan untuk mengurangkan kemungkinan penularan jangkitan. 
 
“Kita mesti meneruskan usaha dalam memperkukuh kesediaan dan kapasiti tindak balas untuk membantu negara lebih bersedia bagi melindungi nyawa dan meminimumkan kejatuhan ekonomi,” jelasnya. 
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Unit Fotografi UKAST

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 14 Ogos 2022.
Jumlah Pengunjung
3186079