PENDAKAP GIGI DAN PEMBEDAHAN RAHANG MUKA: APA KAITANNYA?

KOTA BHARU, KELANTAN, 24 Jun 2022 – Pendakap gigi atau lebih dikenali sebagai 'braces' merupakan alat yang dipasang oleh Pakar Ortodontik pada gigi seseorang menggunakan bahan dan peralatan pergigian tertentu yang dikhaskan. Ia dipasang bertujuan menyusun atur gigi ke posisi gigitan yang lebih baik untuk memperbetulkan gigitan dan rahang serta menambahbaik kesihatan pergigian secara keseluruhannya. 
 
Pembedahan rahang muka pula ialah pembedahan yang dilakukan pada rahang muka sama ada rahang atas atau bawah atau kedua-duanya yang secara amnya untuk tujuan fungsi dan estetik. 
 
SAVE 20220624 201155
 
Menurut Pensyarah Pergigian dan Pakar Ortodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Norma Ab Rahman, tujuan sebenar pemakaian pendakap gigi adalah bagi memperbetul kedudukan serta penjajaran gigi dan rahang yang tidak normal untuk menghalang sebarang bentuk komplikasi yang lebih teruk. 
 
"Ia juga bertujuan bagi membetulkan maloklusi gigi yang jongang, gigi yang tidak rapat atau berjarak, gigitan bersilang atau 'crossbite', gigitan terbuka, gigitan mendalam serta gigi yang terimpak, klef bibir dan lelangit. 
 
"Manakala rawatan pembedahan rahang muka pula diperlukan apabila terdapat kes-kes di mana rahang yang tidak harmoni, muka yang tidak simetri atau senget dan masalah maloklusi yang terlampau atau terlalu teruk. 
 
"Pembedahan rahang adalah berbeza dari pembedahan plastik untuk kecantikan. Pembedahan rahang muka atau pembedahan ortognatik adalah pembedahan yang dilakukan untuk memperbaiki masalah biasanya berkaitan dengan rahang serta masalah maloklusi yg serius," katanya ketika ditemubual dalam Rancangan Sembang Sihat di Radio Kelantan FM. 
 
Norma berkata, bagi kes maloklusi yang terlampau atau terlalu teruk di mana apabila pembetulan menggunakan pendakap gigi sahaja tidak cukup dan tidak dapat memberikan hasil yang sempurna, maka rawatan pembedahan rahang muka diperlukan untuk hasil yang lebih baik. 
 
"Ada sesetengah kes jika pesakit menolak untuk melakukan pembedahan rahang muka bagi membetulkan masalah maloklusi mereka, rawatan pendakap gigi juga tidak dapat dijalankan kerana dibimbangi susunan ideal gigi tidak akan dapat dilakukan disebabkan pemakaian pendakap gigi untuk situasi tersebut akan menjejaskan lagi keadaan pesakit. 
 
"Kebaikan dan faedah yang diperoleh apabila pesakit menerima kedua-dua rawatan adalah sangat banyak. Antaranya ialah ia dapat membetulkan kedudukan gigi yang tidak teratur, sesak atau jarak, memperbaiki keadaan kesihatan oral, percakapan, pengunyahan serta pernafasan, " jelasnya lagi. 
 
Tambah Norma, rawatan tersebut akan turut membantu memperbaiki keadaaan rupa paras dengan mengembalikan keharmonian dan keseimbangan wajah dengan bantuan pembedahan rahang muka sekali gus menambahkan keyakinan diri pada pesakit. 
 
“Amat membimbangkan segelintir remaja kini yang menjadikan 'braces' sebagai satu fesyen dan mengikut trend, sedangkan gigi mereka dalam keadaan baik dan tidak mempunyai masalah maloklusi.
 
"Ini kerana komplikasi atau kesan buruk yang akan timbul sekiranya penjagaan gigi semasa mendapatkan rawatan tersebut diabaikan oleh si pemakai.
 
"Elakkan penggunaan 'fake braces' kerana ianya lebih memberi impak negatif kepada individu yang mempunyai gigi sihat sedia ada dan komplikasi yang paling teruk kesan pemakaian ‘fake braces’ ini adalah sehingga boleh menyebabkan kanser dan kematian," tegasnya. 
 
Norma turut menasihatkan agar pesakit yang mengalami masalah maloklusi mendapatkan rawatan yang sepatutnya di Hospital atau Klinik Kesihatan yang sah berdasarkan nasihat Pakar Ortodontik dan Pakar Pembedahan Oral. 
 
"Ianya bagi membantu pesakit untuk memahami keperluan serta keberkesanan sebelum melakukan kedua-dua rawatan ini ke atas diri mereka,” ujarnya lagi. 
 
Teks: Mohamad Hairol Rasli & Dr. Norma Ab Rahman / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Rabu 30 November 2022.
Jumlah Pengunjung
3484416