USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Jun 2022 - 'Breast Cancer Awareness and Research Unit' (BestARi) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengorak langkah ke hadapan dalam menerokai teknologi terbaharu yang pertama kalinya diperkenalkan di Malaysia melalui penggunaan mesin Braster Pro.
Menurut Ketua Unit BestARi Hospital USM, Profesor Madya Dr. Juhara Haron, mesin Braster Pro ialah peranti perubatan yang menyokong diagnosis awal kanser payudara.

"Mesin Braster Pro yang mempunyai teknologi termografi sentuhan kristal cecair ini boleh menganalisis imej termografi payudara pesakit dan melalui teknologi kecerdasan buatan atau (AI), ianya dapat menunjukkan perubahan dan keabnormalan yang berpotensi berbahaya pada payudara melalui aplikasi mudah alih yang dapat memberi penilaian diagnosis pesakit dengan tepat dan cepat.
"Pesakit tidak perlu bimbang dengan keselamatan terhadap mesin ini kerana ianya telah disahkan selamat oleh 'Medical Device Authority' (MDA) Malaysia dan proses penggunaan mesin ini amat mudah serta tidak menyakitkan pesakit", ujarnya.

Tambah Juhara, melalui kolaborasi dengan Medidata Sdn. Bhd. iaitu pembekal tunggal mesin ini di Malaysia, BestARi Hospital USM bakal menerima tiga (3) unit alatan ini untuk digunakan dalam saringan awal pengesanan kanser payudara.
"Sebagai permulaan, BestARi Hospital USM mensasarkan seramai 200 orang golongan wanita kategori B40 akan mendapat manfaat untuk menjalani pemeriksaan awal kanser payudara secara percuma dengan menggunakan mesin ini yang ditaja oleh pihak pembekal dan akan dijalankan oleh BestARi Hospital USM.

"Sehubungan itu, saya menyeru kaum wanita terutamanya yang mempunyai risiko serta sejarah keluarga menghidap kanser payudara agar tidak malu untuk menjalani pemeriksaan dan BestARi Hospital USM sentiasa bersedia membantu mereka," jelasnya lagi.
Juhara turut menasihatkan kaum wanita yang ingin mendapatkan rawatan atau melakukan saringan awal terhadap payudara, untuk menghubungi unit BestARi Hospital USM melalui talian 09-7674056 atau ke hospital berhampiran bagi mengelak risiko lebih teruk berlaku pada masa akan datang.
Teks : Mohamad Iqmal Mathlan /Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman