JERTEH, TERENGGANU, 9 Jun 2022 - Klinik bergerak Universiti Sains Malaysia (USM) – Merican yang dilengkapi fasiliti perawatan terkini, hari ini merentas sempadan negeri bagi memberi perkhidmatan kepada anggota tentera dan keluarga sempena Program Jiwa Murni anjuran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Gong Kedak.

Menurut Pensyarah Perubatan yang juga Ketua Kumpulan Pemeriksaan Saringan Mata, Program Libatsama Komuniti USM – Merican, Profesor Madya Dr. Azhany Yaakub, Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak menjemput USM untuk melakukan pemeriksaan saringan mata, pemeriksaan saringan kesihatan telinga, hidung dan tekak serta pemeriksaan saringan pendengaran dan pertuturan bahasa.
“USM berbesar hati dengan jemputan tersebut dan bersedia memberikan perkhidmatan kepakaran melalui dua buah bas yang diubahsuai menjadi klinik bergerak untuk menyantuni anggota tentera dan keluarga selain menjalankan kempen bagi meningkatkan penjagaan kesihatan.


“Dengan adanya Klinik Bergerak USM – Merican ini, ia sedikit sebanyak memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menerima rawatan khas daripada pakar bidang berkenaan bagi mengenalpasti masalah kesihatan yang dihadapi sebelum dirujuk ke klinik atau hospital berdekatan untuk rawatan lanjut,” ujarnya ketika ditemui semasa program tersebut sempena sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke - 64.
Tambah Azhany, program ini juga turut disertai oleh pasukan tabung darah daripada Unit Perubatan Transfusi, Hospital USM dan pasukan pameran Klinik Kesihatan Besut.

Sementara itu, Komander Pangkalan, Pangkalan Udara Gong Kedak, Kolonel Ahmad Edros Ahmad Osman, ketika ditemui berkata, beliau amat berbesar hati dan berterima kasih kepada USM yang sudi turun padang memberi perkhidmatan dan rawatan kepada anggota TUDM dan keluarga.
"Pemeriksaan kesihatan seperti ini dapat membantu anggota dan keluarga menjalani pemeriksaan dan saringan awal bagi mengenalpasti penyakit masing-masing yang kebanyakan daripada kami tidak sempat untuk membuat pemeriksaan di klinik atau hospital disebabkan kekangan masa akibat jadual kerja yang padat.

“Syukur, sambutan hari ini amat memberangsangkan dan mencapai hasrat pucuk pimpinan TUDM dan saya berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara USM dan TUDM serta agensi-agensi lain yang terlibat,” katanya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman