USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Mei 2022 – “Kalau kita fahami pengisian tema Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2022 mengikut konteks antarabangsa, ia menunjukkan bahawa dunia mengiktiraf peranan jururawat dalam bidang penjagaan kesihatan,” demikian kata Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman.
Menurutnya, beliau berasa lega kerana Pengurusan Hospital USM sentiasa bertindak sejajar dengan matlamat universal untuk memberi fokus kepada keperluan dan sokongan yang diperlukan oleh profesyen jururawat.
“Jururawat perlu diselia secara optimum untuk mencapai objektif Hospital USM yang mengutamakan keselamatan pesakit, staf dan persekitaran penjagaan pesakit.

“Saya melihat sendiri bagaimana jururawat menjadi tulang belakang organisasi terutama semasa mendepani pandemik COVID-19. Dalam Pelan Respon Hospital kepada COVID-19, Unit Kejururawatan telah diberi tanggungjawab besar, melaksanakan pelan tindakan nombor empat (4) iaitu ‘making Hospital USM wards ready for the escalation of responses’,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2022 Peringkat Hospital USM di Kompleks Sukan Dua (2), Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Tambahnya, ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah, tetapi melalui pemantapan tadbir urus, Unit Kejururawatan berjaya merealisasi pelan tindakan tersebut selari dengan keperluan organisasi.

“Saya percaya dengan bilangan jururawat yang merupakan majoriti terbesar dalam keseluruhan staf Hospital USM, Jururawat USM akan menampilkan USM yang hebat.
“Komitmen anda semua sebagai jururawat cukup ditagih dan diperlukan apatah lagi anda semua merupakan nadi utama kepada para doktor di hospital dalam urusan merawat pesakit dan seterusnya menguruskan rawatan pasca khidmat doktor.

“Jurawatlah sebenarnya yang ada bersama pesakit setiap masa di hospital dan peranan para jururawat sangat penting dalam memastikan pesakit mendapat perawatan serta perkhidmatan terbaik, ujar beliau lagi.
Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2022 peringkat Hospital USM turut dimeriahkan dengan hampir 300 peserta terdiri daripada jururawat Hospital USM menyertai acara senaman dan larian bertujuan menyemarakkan sambutan selain merapatkan ukhwah dan perpaduan terutama dalam kalangan jururawat selain mewujudkan budaya hidup yang sihat.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abd Hasib Abd Rahman