WASPADA PENYAKIT CACAR MONYET

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Mei 2022 - Penularan wabak cacar monyet atau lebih dikenali sebagai ‘monkeypox’ di beberapa buah benua sekarang pastinya menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang awam. 

Penyakit cacar monyet adalah sejenis jangkitan 'zoonosis' (jangkitan daripada haiwan kepada manusia) oleh virus jenis orthopoxviruses dan merupakan penyakit endemik di beberapa buah negara Afrika seperti Republik Demokratik Congo, dengan lebih 1,000 kes disyaki setiap tahun. 

80a40aba 5601 4721 8668 3053462c9000

Menurut Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad, terdapat beberapa kaedah penularan virus ini sama ada secara langsung (direct) atau tidak langsung (in-direct).

“Virus boleh ditularkan daripada haiwan yang dijangkiti kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah haiwan tersebut atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti. 

“Virus juga boleh disebar melalui titisan sekresi pernafasan dan menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau objek yang tercemar dengan virus seperti tempat tidur atau pakaian.

“Selain itu, terdapat laporan yang mengatakan virus ini juga boleh menular melalui hubungan seksual,” ujarnya semasa ditemubual.

4987e0a2 271e 4507 b2ec 11fb0c743736

Tambah Wan Mohd Zahiruddin, gejala dan tanda-tanda jangkitan ‘monkeypox’ biasanya mirip seperti penyakit cacar (smallpox), iaitu demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di bahagian muka kemudian merebak ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian tubuh yang lain. 

“Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

“Tempoh inkubasi biasanya antara enam (6) hingga 13 hari tetapi boleh berjulat dari lima (5) hingga 21 hari dan pesakit yang dijangkiti ‘monkeypox’ biasanya akan mengalami gejala selama dua (2) hingga empat (4) minggu,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, secara umumnya, ‘monkeypox’ kurang berbahaya dan ‘self-limiting’. Ianya tidak tersebar dengan kadar yang tinggi seperti COVID-19 atau campak. 

“Kadar kematian di negara endemik ‘monkeypox’ juga rendah, dianggarkan 3 hingga 6% sahaja. Walau bagaimanapun, kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap immuniti rendah mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan boleh membawa maut sekiranya dijangkiti ‘monkeypox’,” katanya.

ef7fc430 8670 4f98 bedb 2d3196d2ef53

Ditanya sama ada penyakit ini mempunyai risiko menjadi wabak dalam negara kita, Wan Mohd Zahiruddin memberitahu, sehingga kini tiada laporan kes dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan jangkitan dalam Malaysia.

“Risiko jangkitan kepada orang awam dan menular menjadi wabak (seperti COVID-19, HFMD atau lain-lain) adalah sangat rendah kerana secara umumnya, cacar monyet tidak mudah merebak antara manusia.

“Pakar - pakar Kesihatan Awam dan Epidemiologi berpendapat ‘monkeypox’ merebak melalui kontak rapat yang berpanjangan dan tidak mudah menular dalam persekitaran sosial biasa kecuali jika mereka mempunyai sejarah kontak yang jelas dengan haiwan dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit yang dijangkiti ‘monkeypox virus’.

“Walau bagaimanapun, dengan adanya laporan kes di negara ‘non-endemic’ serta kes-kes yang tiada sejarah kontak, risiko ‘monkeypox’ berlaku di Malaysia tetap ada,” ulasnya lanjut.

Wan Mohd Zahiruddin berkata, KKM sentiasa memantau perkembangan situasi ‘monkeypox’ melalui laporan ‘World Health Organization’ (WHO) dan pemantauan kes disyaki di semua Pintu Masuk Antarabangsa. 

“Selain itu, penasihatan perjalanan untuk pengembara ke kawasan-kawasan yang terdapat kejadian ‘monkeypox’ juga dilakukan agar mereka mengambil langkah berjaga-jaga. 

“Jika ada kontak, mereka perlu mengasingkan diri dan memantau simptom selama 21 hari selepas terdedah,” katanya.

Wan Mohd Zahiruddin turut berpesan kepada orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan diri termasuk mencuci tangan dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor.

“Elakkan daripada sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti ‘monkeypox’ sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh pembawa virus seperti pakaian kotor yang digunakan oleh orang yang dijangkiti.

“Elakkan juga bersentuhan dengan haiwan liar atau makan dagingnya yang tidak cukup masak,” tegasnya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 14 Ogos 2022.
Jumlah Pengunjung
3186058