header text

header text

HFMD: APA YANG PERLU ANDA TAHU

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Mei 2022 – Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau lebih dikenali sebagai ‘Hand, Foot and Mouth Disease’ (HFMD) sedang dalam trend peningkatan akhir-akhir ini. HFMD disebabkan oleh virus daripada kumpulan enterovirus khususnya coxsackie A16, coxsackie A6 , enterovirus 71 dan beberapa virus lain.  
 
Menurut Pakar Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zakuan Zainy Deris, HFMD lazimnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak khususnya yang berusia lima (5) tahun ke bawah.  
 
IMG 20220524 072605
 
“Tanda-tanda atau gejala bagi penyakit ini adalah ringan dengan simptom demam diikuti ruam berisi air (blister) atau melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Apabila ‘blister’ tersebut pecah, kanak-kanak yang dijangkiti HFMD biasanya kurang selera makan dan minum disebabkan kesakitan yang dialami sehingga menyebabkan kekurangan air dalam badan.   
 
“Penyakit ini juga boleh merebak melalui sentuhan apabila tangan pesakit yang mengalami ‘blister’ pecah (lelehan air) dan menyentuh kanak-kanak lain, maka virus boleh berpindah dan menjangkiti kanak-kanak lain.   
 
“Selain itu, virus ini juga boleh merebak melalui cecair mulut dan najis ,” katanya.   
 
Zakuan yang juga Ketua Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, berkata, penyakit HFMD dikesan melalui tanda-tanda penyakit tersebut contohnya kulit yang melepuh pada tapak tangan, tapak kaki dan dalam mulut.   
 
“Untuk mendiagnosis penyakit tersebut, letusan atau cecair ‘blister’ dalam mulut, pada tapak tangan atau pada kaki atau air liur dan najis akan diambil dan perlu dilakukan ujian ‘Polymerase Chain Reaction’ (PCR) bagi mengenalpasti kehadiran virus.  
 
“Langkah pengawalan dan pencegahan bagi melindungi kanak-kanak dari dijangkiti HFMD ialah dengan menjaga kebersihan persekitaran, sentiasa mencuci tangan, mengurus lampin pakai buang dengan betul dan sekiranya kanak-kanak mempunyai gejala demam atau tanda-tanda HFMD, ibu bapa dinasihatkan agar tidak menghantar anak mereka ke taska, rumah pengasuh atau tadika bagi mengelak jangkitan dan berlakunya wabak,” ujarnya lagi.  
 
IMG 20220524 072538
 
Tambah Zakuan, ibu bapa atau penjaga juga dinasihat agar merehatkan anak-anak yang dijangkiti HFMD di rumah sehingga gejala penyakit itu pulih sepenuhnya kerana tiada vaksin khusus untuk mencegah HFMD buat masa ini. 
 
“Bagi pesakit yang mempunyai gejala ringan, rawatan yang diperlukan hanyalah berehat di rumah dan pastikan pengambilan air mencukupi dan yang paling penting pesakit perlu dikuarantin supaya virus tidak merebak.  
 
“Walau bagaimanapun, bagi kanak-kanak yang mengalami gejala teruk, mereka perlu dirawat di Hospital kerana lawatan lanjut perlu diberikan. Adalah penting untuk ibu bapa merujuk ke hospital dengan segera sekiranya mendapati gejala HFMD ini semakin teruk,” jelasnya lanjut.  
 
Menurut Zakuan lagi, tempoh inkubasi (iaitu selepas pendedahan kuman sehingga mendapat gejala) adalah antara tiga (3) hingga lima (5) hari. Pengidap HFMD ini berisiko untuk menjangkiti kanak-kanak lain semasa bergejala.   
“Kanak-kanak yang dijangkiti penyakit HFMD boleh menyebarkan virus dan menjadi punca jangkitan sehinggalah ruamnya kering dan majoriti kes biasanya sembuh sekitar tujuh (7) hari. Walaupun begitu, terdapat juga keadaan di mana virus berterusan dikeluarkan melalui najis beberapa minggu selepas sembuh. 
 
“Gejala HFMD boleh berulang dan menjangkiti kanak-kanak yang sama sekiranya ia dijangkiti oleh strain virus yang berbeza. Orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih berumur juga boleh dijangkiti HFMD tetapi biasanya tidak teruk,” ujar beliau.  
 
Zakuan sangat menekankan ibu bapa agar sentiasa menjaga kebersihan khususnya dalam pengurusan najis dan lampin anak-anak serta sentiasa menjaga kebersihan tangan.  
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 28 Mei 2023.
Jumlah Pengunjung
4005740