KEKAL SIHAT DI BULAN SYAWAL AMALKAN DIET SUKU-SUKU SEPARUH

KOTA BHARU, KELANTAN, 13 Mei 2022 – Apabila tibanya lebaran, pelbagai juadah enak seperti lemang, ketupat, rendang, kuah kacang, sate dan biskut raya menjadi hidangan wajib ketika meraikan Aidilfitri dan ternyata agak sukar untuk menahan selera dari menikmati juadah yang dihidangkan. 

Sudah pasti ada yang merungut berat badan semakin naik, selera makan bertambah, apatah lagi bermacam-macam juadah disediakan di rumah terbuka menyebabkan kita terleka dalam menjaga kuantiti pengambilan makanan yang seimbang. 

SAVE 20220514 182355

Menurut Pegawai Dietetik, Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Nor Syarahani Jusoh, terdapat pelbagai kaedah yang boleh diamalkan untuk memastikan berat badan terkawal dan  pengambilan makanan secara seimbang. 

"Antaranya dengan mengamalkan prinsip pinggan sihat Malaysia iaitu suku-suku separuh.

"Suku-suku separuh sebenarnya adalah salah satu konsep pemakanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Program Pinggan Sihat Malaysia. 

"Konsep ini adalah terjemahan daripada Panduan Diet Malaysia dan Piramid Makanan Malaysia bagi membantu rakyat Malaysia mengamalkan tabiat makan secara sihat dengan merancang hidangan seharian mereka," jelasnya semasa menjadi tetamu rancangan Sembang Sihat Radio Kelantan FM. 

Tambah Nor Syarahani, konsep suku-suku separuh mudah untuk difahami, iaitu suku bahagian pinggan diisi dengan sumber karbohidrat seperti nasi atau roti, suku pinggan lagi diisi dengan sumber protein seperti ikan, ayam, daging dan kekacang manakala separuh pinggan diisi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan. 

"Panduan Diet Malaysia atau 'The Malaysian Dietary Guidelines' (MDG)  diperkenalkan pada tahun 1999, disemak semula pada tahun 2010 dan semakan kedua pada tahun 2020 mempromosikan makan secara sihat dan gaya hidup sihat bagi pencegahan masalah pemakanan termasuk 'Non - Communicable Disease' (NCD) melalui pendidikan. 

"NCD adalah penyakit tidak berjangkit yang kronik berkembang secara perlahan-lahan dan berpanjangan atau ia boleh mengakibatkan kematian mengejut seperti sesetengah  penyakit strok. 

"Ia juga termasuk penyakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang kronik dan osteoporosis. Selain itu, berat badan berlebihan serta obesiti juga merupakan risiko utama bagi kematian sejagat dan menjadi masalah utama kesihatan awam," ujarnya lagi. 

Nor Syarahani berkata, bagi memudahkan orang ramai mengamalkan pemakanan secara sihat, Pinggan Sihat Malaysia telah dihasilkan sebagai alat visual untuk merancang pengambilan makanan bagi setiap hidangan.

"Ia menunjukkan jumlah makanan yang perlu dimakan bagi setiap kumpulan makanan tertentu dan tidak perlu takut untuk menikmati juadah hari raya jika kita dapat mengambilnya dalam hidangan suku-suku separuh. 

"Dalam usaha menjadikan hidangan suku - suku separuh ini sebagai amalan, mungkin anda boleh mulakan dengan satu langkah yang anda rasa mudah dahulu. Sebagai contoh, jika anda rasa suku pinggan nasi itu adalah sangat sedikit kerana kebiasaan anda makan adalah satu pinggan penuh, mungkin anda boleh mulakan dengan menambah sajian sayur-sayuran dahulu. 

"Kurangkan nasi dan tinggalkan lebih ruang untuk sayur-sayuran berbanding hari biasa, cuba lakukan selama satu hingga dua minggu. Seterusnya, kurangkan lagi jumlah nasi dan tambah jumlah sayur dan teruskan hingga nasi dapat dikurangkan ke suku pinggan," katanya. 

Nor Syarahani turut menasihatkan agar tidak melakukan diet secara drastik bagi mengelakkan emosi anda terasa seperti tidak kenyang, tidak cukup dan tidak bertenaga. 

"Tips utama yang perlu diikuti adalah buat sedikit demi sedikit, tetapi berterusan. Tetapkan matlamat mengapa anda mahu ubah gaya pemakanan dan berusaha ke arah yang lebih baik seperti untuk menurunkan berat badan, kekal sihat dan sebagainya. 

"Kita sedia maklum kesihatan adalah berpunca daripada pemakanan sihat dan seimbang serta gaya hidup yang sihat dan aktif," ulasnya lanjut. 

Terdapat lima mesej utama yang perlu ada untuk menyokong perancangan makan mengikut Pinggan Sihat Malaysia iaitu: 

1) Makan tiga (3) hidangan utama yang sihat dalam sehari. 

2) Makan satu (1) hingga dua (2) snek (makanan ringan atau ringkas) yang sihat di antara waktu makan jika perlu. 

3) Makan sekurang-kurangnya separuh daripada sumber bijirin sebagai bijirin penuh. 

4) Pilih hidangan tidak bergoreng dan tanpa santan setiap hari. 

5) Makan makanan yang dimasak di rumah lebih kerap. 

Konsep suku-suku separuh adalah bagi memudahkan visualisasi dalam pinggan yang menunjukkan jumlah makanan bagi setiap kumpulan makanan yang harus dimakan dalam sesuatu hidangan agar mencapai diet yang seimbang dan sihat. 

Kesihatan diri perlu dititikberatkan agar berat badan tidak bertambah secara mendadak dan diri kita terhindar daripada sebarang risiko penyakit yang berbahaya. 

Teks: Mohamad Hairol Rasli / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 14 Ogos 2022.
Jumlah Pengunjung
3186072