CEGAH DEMAM KEPIALU ELAK KESAN LEBIH BURUK

KOTA BHARU, KELANTAN, 28 April 2022 – Demam kepialu adalah satu jangkitan bawaan makanan disebabkan oleh bakteria 'Salmonella Typhi' yang terdapat dalam darah, najis, urin dan najis pembawa. 

Penyakit ini masih kekal sebagai satu masalah kesihatan awam yang serius dan menjadi beban kepada negara yang berpendapatan rendah serta sederhana. 
 
Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail berkata, seseorang yang dijangkiti demam kepialu mempunyai simptom seperti demam, keletihan serta sakit kepala manakala pembawa kepialu adalah individu yang sihat dan tiada apa-apa gejala tetapi bakteria ini ada di dalam pundi hempedu mereka. 
 
SAVE 20220428 224849
 
“Penularan bakteria berlaku melalui makanan dan minuman yang dicemari oleh najis manusia atau makanan yang disediakan oleh pembawa. 
 
"Selain itu, makanan yang dihinggapi lalat dan bekalan air tidak bersih juga menjadi faktor berlakunya jangkitan penyakit ini. 
 
“Tanpa rawatan segera, 10 peratus daripada pesakit akan mengalami komplikasi yang serius pada sistem pencernaan seperti usus bocor malah pesakit juga boleh mengalami sakit pada bahagian abdomen serta najis berdarah dan yang paling serius boleh menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal,” katanya ketika ditemuramah di radio Kelantan FM. 
 
Tambah Aziah, untuk mengesan pembawa penyakit ini, ujian makmal pada pengendali makanan yang mempunyai kaitan dengan sesuatu kes akan dilakukan bagi mencari punca jangkitan, maka proses pengkulturan najis di atas plat agar akan dilakukan di makmal bagi mengesan pertumbuhan bakteria 'Salmonella Typhi'. 
 
"Selain itu, kaedah molekular dengan mengesan bahan genetik bakteria juga dilakukan di samping saringan melalui ujian pengesanan antibody IgA dan IgG. 
 
“Kaedah rawatan yang digunakan pula, pesakit akan diberikan antibiotik 'Ciprofloxacin' selama empat minggu atau 'Amoxycillin' selama tiga (3) bulan," katanya. 
 
Aziah berkata, selepas tamat rawatan, spesimen najis akan diambil setiap bulan selama tiga (3) bulan pertama dan diikuti pada bulan ke enam (6) dan 12 malah semasa pemantauan ini, pembawa kepialu akan dipantau serta tidak dibenarkan mengendalikan makanan kepada orang ramai. 
 
“Sebagai langkah pencegahan demam kepialu, beberapa golongan perlu mengambil vaksin kepialu seperti pengendali makanan, anggota kesihatan, pekerja sanitasi kumbahan dan kontak rapat dengan pembawa bakteria,” jelasnya lagi. 
 
Aziah turut menasihatkan pengendali makanan agar divaksin terlebih dahulu sebelum menyediakan makanan kepada orang ramai. 
 
"Pengunjung juga dinasihatkan memilih gerai yang mengutamakan kebersihan sebelum makan dan jika mengalami sakit perut yang berlarutan serta demam yang berpanjangan, dapatkan rawatan segera di klinik bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku. 
 
Teks & Foto : Muhd Zulkifli Zakaria

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 14 Ogos 2022.
Jumlah Pengunjung
3186092