USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 April 2022 – “Setiap staf perlu tahu perancangan dari segi wawasan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hospital serta perlu seiring memahaminya bagi mencapai sasaran agar semua sehaluan ke arah memacu kecemerlangan Universiti,” demikian harapan Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman terhadap semua staf dan barisan pengurusan di bawah pimpinannya.
Nik Hisamuddin yang dilantik menerajui barisan kepimpinan Hospital USM bermula 1 Januari lalu berharap agar semua pihak memberi sokongan kepada setiap agenda dan hala tuju yang ingin dilaksanakannya bagi mengekalkan kecemerlangan terdahulu.
“Saya diberi amanah untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Hospital USM yang semua sedia maklum adalah satu cabaran besar untuk mengemudi organisasi yang mempunyai hampir 3,000 orang staf malahan menjadi tempat bergantung apabila berhadapan dengan masalah pentadbiran, klinikal dan sebagainya.
“Saya terima cabaran ini dengan hati terbuka dan ambilnya sebagai satu perkara positif untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik dalam aspek pentadbiran, pengurusan kualiti, perkhidmatan kepada pesakit dan sebagainya,” ujarnya ketika ditemu bual.
Nik Hisamuddin yang juga Pakar Perubatan Kecemasan berkata, beliau mempunyai sistem sokongan yang amat besar melibatkan beberapa jabatan dan unit yang sentiasa perlu diberi semangat serta sokongan untuk mereka terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
“Sistem sokongan ini ibarat tiang yang kukuh kepada sesebuah hospital. Sebagai pengurusan tertinggi, saya perlu sentiasa menyelami permasalahan mereka dan peka terhadap keperluan serta kehendak mereka dalam menyampaikan perkhidmatan.
“Untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan, saya perlu mendalami keluh kesah mereka bagi membantu dan memberi sokongan dari segi moral, fizikal, kewangan dan tidak boleh berdiam diri serta mengharapkan ‘support system’ ini bergerak sendiri,” jelasnya lagi.
Ahli akademik yang dilahirkan pada 22 Oktober 1969 di Kota Bharu ini sememangnya mempunyai latar belakang sebagai pemimpin sejak dahulu lagi apabila beliau pernah diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan dari tahun 2005 sehingga 2012, Timbalan Pengarah Insfrastuktur dan Aset, Hospital USM pada tahun 2017 hingga 2021 sebelum diamanahkan menggalas jawatan sebagai Pengarah Hospital USM.

Nik Hisamuddin yang merupakan anak bongsu kepada pasangan Haji Nik Ab Rahman Nik Yusoff dan Hajjah Nik Fauziah Wan Mahmood turut memberitahu bahawa kepimpinan yang berkesan juga sering dikaitkan dengan sifat, nilai dan tingkah laku yang beretika.
“Kepimpinan beretika adalah mustahak kerana pemimpin adalah ejen perubahan bagi elemen-elemen penting dalam sesebuah organisasi. Sikap dan tingkah laku pemimpin memberi impak kepada perlakuan staf yang akan turut mempengaruhi prestasi organisasi.
“Saya menggalas amanah sebagai Pengarah Hospital USM ketika negara masih lagi dalam kemelut pandemik COVID-19, jadi cabaran yang saya pikul sedikit berbeza dari tahun sebelumnya kerana saya perlu menerapkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan membudayakan amalan norma baharu dalam kalangan warga staf,” katanya.
Diajukan soalan berhubung kecekapan proses kerja adalah kunci utama untuk menghasilkan perkhidmatan berkualiti khususnya Hospital USM dalam penawaran perkhidmatan kesihatan dan perubatan, Nik Hisamuddin memberitahu, penyampaian perkhidmatan di Hospital USM sentiasa bertunjang kepada petunjuk prestasi utama (KPI).
“Setiap penyampaian perkhidmatan perlu ada KPI sebagai tanda aras untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dan pasukan yang dilantik akan memantau prestasi serta menilai keberkesanannya.
“Sebagai contoh, doktor perlu merawat pesakit dalam masa 30 minit selepas pendaftaran di klinik. KPI ditetapkan sebagai tanda aras sama ada kita mampu mencapai ketetapan tersebut atau sebaliknya dan sekiranya hasil menunjukkan pencapaian 100%, ia bermaksud sasaran yang ditetapkan telah berjaya,” ulas Nik Hisamuddin.
Figura berbadan tegap dan berkaca mata ini turut berkongsi pandangannya apabila ditanya mengenai hubungan stategik dengan pelbagai pihak sebagai pemimpin sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU).
Menurutnya, sebagai peneraju salah satu HPU, beliau akan memastikan jaringan kerjasama dan kolaborasi dari aspek penyelidikan diteruskan dengan hospital-hospital universiti yang lain, rakan industri dan badan bukan kerajaan (NGO) agar hasilnya dapat disalurkan bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan.
Mengakhiri sesi temu bual, Nik Hisamuddin berharap agar semua staf Hospital USM menjaga integriti ketika bekerja kerana sebagai staf yang sentiasa berurusan dengan pelanggan, kita sering menjadi tumpuan umum.
“Jagalah imej Hospital USM dengan mempamerkan sikap yang baik selain menjadi seorang yang mempunyai wawasan serta mematuhi ikrar sebagai penjawat awam.
“Saya juga mengharapkan agar semua pihak sering bekerjasama dengan erat dan tidak mewujudkan jurang antara jabatan serta sering berinteraksi dan berkomunikasi dalam usaha mengetengahkan nama Hospital USM ke persada dunia,” rayunya lagi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman