KOTA BHARU, KELANTAN, 25 Mac 2022- Pasukan petugas Program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) turun padang menyantuni warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 Peringkat Negeri Kelantan.
Program komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini memfokuskan kepada Universiti Awam untuk memberi perkhidmatan yang sesuai kepada masyarakat setempat.

Pasukan petugas Hospital USM yang diketuai oleh Penyelaras 2 KRIS, Dr. Siti Nurbaya Zainal Abidin diberi tanggungjawab untuk menyelaras aktiviti pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan dan pergigian kepada warga PDRM dan pengunjung yang hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini.


Selain itu, bagi menyokong saranan Menteri Kesihatan Malaysia bagi merealisasi hasrat Malaysia untuk membendung masalah merokok seterusnya mewujudkan sebuah generasi baharu yang bebas daripada tabiat merokok melalui 'Generation End Game' (GEG), Penyelaras Klinik Berhenti Merokok, Wellness@KRK Hospital USM, Dr. Nur Suhaila Idris diberi tanggungjawab menjalankan pameran kesihatan dan konsultasi berkaitan bantuan berhenti merokok.