HIV : KENALI CARA JANGKITAN DAN KAEDAH RAWATAN PEMULIHAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 20 Mac 2022 -  HIV atau 'Human Immunodeficiency' adalah virus yang menyerang sistem ketahanan badan manusia dan merupakan satu penyakit yang berjangkit melalui darah atau cecair dalam badan daripada manusia kepada manusia.

SAVE 20220320 184551

Menurut Ketua Jururawat Kaunseling HIV/ AIDS, Unit Kejururawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Nik Mohd Irwan Nik Pa, sehingga kini, belum ditemui lagi ubat yang mampu menyahkan virus HIV daripada badan manusia. 
 
“HIV boleh dijangkiti melalui cecair dalam badan seperti darah, cecair rektal, susu ibu serta jangkitan melalui hubungan seks rambang atau seks songsang dan perkongsian jarum suntikan yang terkena jangkitan. 
 
"90 peratus jangkitan HIV adalah daripada golongan lelaki dan 57 peratus adalah disebabkan hubungan seks lelaki dengan lelaki (homoseksual/MSM) terutama dalam kalangan belia yang berumur 20 hingga 39 tahun. 
 
“Antara golongan yang berisiko tinggi menghidap jangkitan HIV ialah penagih dadah yang berkongsi jarum dan alat suntikan, lelaki yang mengadakan hubungan seks sejenis, transgender (LGBT) dan pekerja seks,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Sembang Sihat bersama Kelantan FM. 
 
Tambah Nik Mohd Irwan, homoseksual ialah orientasi nafsu dalam hubungan tarikan personel, emosional, romantik, perasaan cinta dan sayang serta seks sejenis atau sesama gender. 
 
‘’Hubungan seks sejenis dilakukan sesama lelaki yang terbahagi kepada insertif dan reseptif, yang mana cara reseptif berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kerana lapisan dinding anus yang nipis memudahkan jangkitan virus HIV. 
 
“Antara faktor yang menyebabkan homoseksual ialah kecelaruan orentasi seksual semasa remaja yang dikurniakan bentuk tubuh yang tidak selari dengan naluri iaitu mempunyai naluri wanita yang berada di dalam badan lelaki dan trauma semasa kanak-kanak serta pernah mengalami gangguan seksual semasa kanak-kanak hingga menyebabkan ketagihan," ujarnya lagi. 
 
Nik Mohd Irwan berkata, konflik dalam keluarga dan mendapat keseronokan di luar rumah melalui perhubungan dengan rakan sejenis yang dianggap boleh menggantikan ibu bapa serta kekurangan komunikasi dengan ibu bapa juga boleh menyumbang kepada masalah homoseksual dan pendedahan kepada video porno serta rasa ingin mencuba sebelum perkahwinan. 
 
“Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memantau tingkah laku serta pergerakan anak-anak mereka selain memberi perhatian sepenuhnya agar anak-anak tidak merasa kurang kasih sayang sehingga mereka terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat. 
 
“Pesakit HIV boleh dirawat dan boleh kembali menjalani hidup yang normal seperti orang lain melalui rawatan antiretroviral (ARV) yang konsisten dan kepatuhan terhadap rawatan yang dijadualkan. 
 
"Selain itu, jumlah virus yang berada dalam badan pesakit juga akan berkurangan sehingga aras virus tidak boleh dikesan lagi," ulas beliau lanjut. 
 
Nik Mohd Irwan turut menjelaskan ‘World Health Organisation’ (WHO) telah menetapkan bahawa virus yang tidak boleh dikesan serta tidak boleh dipindahkan kepada orang lain dianggap memberi lembaran baharu kepada pesakit berkenaan kerana telah bebas daripada penyakit HIV dan boleh meneruskan kehidupan seperti biasa iaitu berkahwin dan mendapat zuriat. 
 
“Pesakit boleh mendapat rawatan ARV di mana-mana klinik - klinik atau hospital kerajaan secara percuma bermula dengan melakukan ujian saringan, rawatan susulan serta mendapatkan khidmat kaunselor yang dilantik untuk membantu pesakit-pesakit HIV,” katanya. 
 
Nik Mohd Irwan turut menasihati semua pesakit supaya membuat rawatan awal bagi mengelak jangkitan merebak kepada pasangan atau orang lain selain mendapat komplikasi yang lebih teruk lagi. 
 
Teks: Anawiah Abdul Aziz

 

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 14 Ogos 2022.
Jumlah Pengunjung
3185935