header text

header text

HOSPITAL USM BERJAYA KEKALKAN SIJIL MS 1900 : 2014 SEBAGAI HOSPITAL PATUH SYARIAH DI MALAYSIA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Mac 2022 - Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengekalkan pensijilan Hospital Patuh Syariah (HPS) MS 1900 : 2014 hari ini. Pengekalan tersebut diperakukan hasil daripada audit semakan semula yang dikendalikan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Berhad). 

Menurut Ketua Pasukan Audit, Bahagian Perkhidmatan, SIRIM QAS International Sdn. Bhd, Asiyah Haron, pengiktirafan sesebuah hospital sebagai HPS perlu melalui proses pensijilan dan akreditasi yang dikendalikan SIRIM iaitu sebuah organisasi korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. 
 
SAVE 20220311 105814
 
"Sesebuah hospital perlu memenuhi piawaian sistem pengurusan kualiti berasaskan syariah (MS 1900: 2014) yang telah ditetapkan oleh pihak SIRIM. 
 
"Piawaian MS 1900: 2014 adalah berasaskan kepada piawaian sistem pengurusan kualiti ISO 9001: 2015 dengan beberapa komponen tambahan bagi memenuhi keperluan pematuhan syariah," ujarnya. 
 
Tambah Asiyah, hasil semakan semula oleh pasukan audit SIRIM Berhad yang berlangsung selama dua (2) hari bermula semalam didapati tiada penemuan ketidakakuran semasa proses audit berlangsung dan hanya tindakan penambahbaikan (OFI) sahaja dicadangkan kepada Hospital USM untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan. 
 
SAVE 20220311 105758
 
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dalam ucapan penutup audit tersebut berkata, penerapan nilai-nilai Islam di dalam aktiviti perawatan pesakit dan pengurusan hospital adalah bertepatan dengan misi dan visi Hospital USM seperti yang disarankan oleh pengurusan tertinggi universiti.
 
"Pihak pentadbiran Hospital USM komited dalam mengamalkan pendekatan konsep HPS bagi memastikan perawatan pesakit menepati standard yang tinggi bukan hanya dari aspek perawatan semata-mata namun turut menekankan konsep keislaman dalam memberikan khidmat dan rawatan terbaik kepada para pesakit," katanya. 
 
Mohd Imran juga merakamkan ucapan tahniah kepada urusetia daripada Unit Pematuhan dan Pengurusan Risiko serta semua pegawai yang terlibat dalam audit kali ini kerana berjaya mengendalikannya secara maya (online) tanpa ada sebarang masalah. 
 
Untuk rekod Hospital USM mendapat pengiktirafan HPS MS 1900 : 2014 daripada pihak SIRIM Berhad mulai tahun 2021. 
 
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Unit Pematuhan & Pengurusan Risiko

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 28 Mei 2023.
Jumlah Pengunjung
4005771