PENYAKIT BUAH PINGGANG: CEGAH SEBELUM PARAH

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Mac 2022 -  Tahap kesihatan seseorang amat bergantung kepada buah pinggang yang berfungsi secara sempurna. Dianggarkan 15 peratus daripada rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik pelbagai peringkat.

SAVE 20220304 143103

Menurut Pensyarah Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian yang juga Pakar Patologi Kimia, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Karyatee Kassim, buah pinggang manusia hanya bersaiz 10 hingga 12 sentimeter dan berbentuk seperti kacang.
 
“Fungsinya amat besar iaitu menapis bahan kumuh dalam badan, mengekalkan komposisi normal cecair dalam badan, mengawal pengeluaran air dalam badan, mengawal bahan mineral  dalam badan seperti natrium, potassium, kalsium, fosforus, dan menukarkan vitamin D dalam bentuk aktif untuk memastikan pertumbuhan tulang yang kuat dan sihat dan seterusnya mengawal elektrolit iaitu garam galian yang diperlukan untuk fungsi badan manusia.
 
"Sekiranya ketidakfungsian buah pinggang ini berlaku, ia akan memberi kesan kepada perubahan pada keseimbangan bahan kimia dalam badan," katanya ketika ditemubual dalam segmen Sembang Sihat, Kelantan FM, hari ini.
 
Beliau berkata, bagi pesakit buah pinggang kronik fungsi buah pinggang akan berkurangan secara beransur-ansur tanpa dapat dipulihkan kembali dan juga dianggap pembunuh dalam diam.
 
“Tahap kesihatan buah pinggang juga boleh diukur melalui kadar penapisan ‘Glomerular Filtration rate “ (EGFR)
 
"Tahap satu adalah tahap yang paling selamat atau sihat manakala tahap lima adalah tahap yang paling kronik bagi kesihatan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis dan pemindahan organ buah pinggang," jelasnya lagi.
 
Tambah Dr Nur Karyatee, golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit buah pinggang kronik ialah mereka yang mempunyai penyakit diabetis, tekanan darah tinggi dan tahap kolestrol yang tinggi.
 
“Selain itu mereka yang berumur lebih 60 tahun, perokok tegar, mereka yang mempunyai masalah batu karang, gout dan berat badan yang berlebihan juga turut berisiko untuk mendapat penyakit ini.
 
“Bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan tanpa preskripsi daripada doktor bagi tujuan untuk menjadi kurus dan cantik perlu berhati-hati kerana ubat-ubatan sebegini sebenarnya berbahaya dan memberi kesan buruk kepada buah pinggang.
 
“Pesakit buah pinggang kronik biasanya tidak menunjukkan simptom atau tanda tanda menghidap penyakit buah pinggang kronik sehinggalah sekitar 50 hingga 70 peratus fungsi kesihatan tisu buah pinggang telah merosot rosak," ulasnya lanjut.
 
Dr Nur Karyatee berkata, tanda -tanda penghidap penyakit buah pinggang kronik ialah pesakit akan merasa keletihan, mual, kekejangan otot pada waktu malam, bengkak kaki dan bengkak di sekeliling mata, kerap membuang air kecil pada waktu malam dan juga selain kencing berbuih.
 
"Ujian darah biasanya akan dilakukan untuk mengukur tahap fungsi buah pinggang seseorang seperti tahap kreatinin dan urea dalam badan. Sekiranya buah pinggang didapati rosak, semua bahan buangan akan berkumpul dalam badan kerana buah pinggang yang rosak tidak mampu menapis keluar bahan tersebut.
 
“Selain itu, terdapat juga ujian elektrolit bagi mengukur tahap mineral dalam badan pesakit . Pesakit buah pinggang kronik pada kebiasaanya akan mengalami ketidakseimbangan bahan mineral dalam badan seperti potasium, sodium serta kalsium dan ubat-ubatan diperlukan bagi menstabilkan semula elektrolit ini.
 
“Pesakit juga perlu melakukan ujian darah hemoglobin atau sel darah merah kerana pesakit buah pinggang kronik biasanya akan mengalami anemia iaitu sel darah merah rendah kerana fungsi buah pinggang tidak dapat menghasilkan hormon erythropoietin yang mana hormon ini penting untuk penghasilan sel darah merah," ujar beliau.
 
Dr Nur Karyatee turut berpesan kepada masyarakat agar tidak takut menjalani ujian darah bagi mengelak buah pinggang rosak lebih teruk.
 
“Cegah sebelum parah dan sayangilah buah pinggang anda," katanya.
 
Teks : Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 14 Ogos 2022.
Jumlah Pengunjung
3185946