USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Mac 2022 - Selepas hampir dua tahun mendepani penularan COVID-19, negara kita dijangka memasuki fasa endemik pada masa akan datang.
Mengorak langkah dalam kesiapsiagaan mendepani situasi tersebut, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah membangunkan ‘Standard Operation Procedure’ (SOP) khas untuk diamalkan oleh warga Kampus Kesihatan dalam pengurusan kes positif dan kontak rapat COVID-19.

Timbalan Penyelaras Bilik Gerakan COVID-19 Kampus Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Nor Azwany Yaacob berkata, kumpulan ‘COVID-19 Readiness and Response Secretariat’ telah menyediakan SOP Kampus Kesihatan berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pengurusan kes positif dan kontak rapat di Kampus Kesihatan ini digariskan kerana kepelbagaian skop kerja yang terdiri daripada petugas kesihatan, pensyarah serta pelajar klinikal yang akan berhadapan dengan perawatan pesakit terutamanya di Hospital USM dan warga kampus bukan klinikal yang lain.
“SOP ini menekankan tanggungjawab setiap warga untuk melakukan ujian kendiri sekiranya bergejala di samping meneruskan pematuhan SOP yang ketat semasa berada di hospital khususnya dan kampus amnya.
“Definasi warga Kampus Kesihatan oleh Bilik Gerakan adalah merujuk kepada mereka yang berdaftar di Kampus Kesihatan termasuk pelajar serta mereka yang memberikan khidmat kepada Kampus Kesihatan seperti pekerja pencucian kontrak dan pekerja di kafeteria,” katanya semasa menyampaikan ceramah dalam program ‘Town Hall : Isu Semasa COVID-19 Hospital USM, di sini semalam.
Menurut Azwany, pengurusan kes positif dan kontak rapat warga kampus yang bergelaja atau mempunyai risiko melibatkan kes dalaman di Kampus Kesihatan diuruskan oleh Bilik Gerakan COVID-19 Kampus Kesihatan dan akan di notifikasi kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu.
“Semua staf yang bergejala, kontak rapat atau didapati positif COVID-19 melalui ujian kendiri perlu mengemaskini borang deklarasi Risiko COVID-19 Warga Kampus Kesihatan dan memaklumkan kepada Ketua Jabatan masing-masing bagi tindakan selanjutnya oleh Bilik Gerakan.
“Warga kampus yang didapati positif COVID-19 perlu mengemaskini status MySejahtera bagi mendapatkan arahan kuarantin ‘Home Surveillance Order’ secara digital dan Bilik Gerakan akan mengumpul data bagi membantu pihak pentadbiran memastikan perkhidmatan khususnya di Hospital USM tidak terjejas.
“Kes sah positif juga akan dinotifikasi kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu bagi membantu pengurusan lanjut,” ujarnya lagi.
Azwany berkata, bagi petugas kesihatan yang menjadi kontak rapat kes positif COVID-19, SOP ‘Health Care Workers’ yang digariskan oleh KKM akan diguna pakai di mana petugas kesihatan (HCW) yang menjadi kontak rapat tetapi tidak begejala boleh kembali bertugas dengan pemantauan harian gejala dan ulangan ujian kendiri yang akan dipantau oleh penyelia.
“Mengikut garis panduan terbaharu yang dikeluarkan oleh KKM, bermula Mac 2022, individu berusia 18 tahun dan ke atas yang merupakan kontak rapat kepada pesakit COVID-19 namun sudah mendapat dos penggalak dan tidak bergejala, tidak perlu menjalani kuarantin.
“Walau bagaimanapun, individu tersebut perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir pendedahan kepada kes indeks,” ulas Azwany lanjut.
Jelasnya, mereka juga perlu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera di samping melaporkannya kepada Ketua Jabatan atau penyelia untuk dokumentasi survelan Bilik Gerakan Kampus Kesihatan.
“Bagi kontak rapat bergejala pula, mereka perlu menjalani HSO berdasarkan status vaksinasi. Antara langkah keselamatan bagi warga bergejala yang menjadi kontak rapat adalah mengisi ‘Home Assessment Tool’ di aplikasi MySejahtera bagi memantau gejala dan ujian kendiri sebelum kembali bekerja.
“Sekiranya ujian kendiri menunjukkan keputusan negatif tetapi gejala berterusan, Bilik Gerakan akan merujuk kontak rapat tersebut ke Klinik Saringan Infeksi (SRI) untuk penilaian klinikal dan ujian PCR,” katanya.
Mengakhiri ceramah dalam program tersebut, Azwany menekankan pematuhan SOP kepada semua warga Kampus Kesihatan agar sama sama mengambil tanggungjawab dalam menangani pandemik ini dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal serta mengikuti perkembangan semasa COVID-19 melalui saluran maklumat yang sahih.
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan