USM KUBANG KERIAN, KELANTAN 2 Mac 2022 - "Pemerkasaan komuniti dari aspek kawalan kendiri terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah jangkitan COVID-19 merupakan perkara penting dalam suasana peralihan negara daripada fasa pandemik kepada endemik", demikian kata Pakar Perubatan Keluarga merangkap Penyelaras Klinik Saringan Infeksi – Klinik Rawatan Keluarga (SRI-KRK) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Nur Suhaila Idris.
Menurut beliau, seiring dengan persediaan ke arah fasa endemik, peranan Hotline COVID-19, Klinik SRI dan Kaunter saringan COVID-19 yang telah dibangunkan oleh Hospital USM sejak bermula pandemik COVID-19 sentiasa dikemaskini selaras dengan SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Saringan risiko COVID-19 ke atas pesakit, pelawat dan warga kampus terutamanya akan diteruskan dengan penerapan pemerkasaan ujian kendiri.
"KKM telah mengeluarkan SOP strategi pengujian COVID–19 di mana ujian pengesanan kendiri dalam kalangan rakyat Malaysia telah menjadi satu norma baharu kehidupan masyarakat.
"Sehubungan itu, peranan Klinik SRI-KRK juga sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa pengurusan COVID-19 yang mungkin tidak sama sewaktu wabak ini bermula pada tahun 2020," ujarnya.
Nur Suhaila berkata, dalam usaha kerajaan membuka semula sektor-sektor sosial dan ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat, penekanan kepada tindakan kesihatan awam kendiri diperkukuhkan dengan pelaksanaan TRIIS.
"TRIIS membawa maksud T untuk 'Test' (uji) - Lakukan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri, R untuk 'Report' (lapor) - Laporkan keputusan ujian pengesanan kendiri (negatif, positif atau tidak sah) melalui aplikasi MySejahtera, I untuk 'Isolate' (asing) - Lakukan pengasingan kuarantin kendiri sekiranya positif COVID-19, I untuk 'Inform' (maklum) - Segera maklumkan kepada kontak rapat dan ahli keluarga terdekat sekiranya positif dan maklum kepada pihak berkuasa kesihatan atau CAC (Pusat Penilaian COVID-19) berhampiran dan S untuk 'Seek' (dapatkan rawatan) - Dapatkan rawatan segera di pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya gejala bertambah teruk.
"Masih ada dalam kalangan staf yang keliru dengan SOP bagi staf yang bergejala dan saya sentiasa menekankan agar staf tidak panik, patuhilah SOP yang telah dikeluarkan melalui sumber yang sahih seperti Pusat Media dan Perhubungan Awam, Kampus Kesihatan serta rujuk Ketua Jabatan bagi mendapatkan penasihatan sama ada daripada Bilik Gerakan atau 'Hotline' COVID-19 Hospital USM," jelasnya lagi.
Tambah Nur Suhaila, Ketua Jabatan atau Penyelia perlu memainkan peranan yang penting dalam menasihati staf yang bergejala untuk melakukan ujian kendiri dan tidak dibenarkan hadir bekerja.
"Staf perlu mengemaskini borang deklarasi risiko COVID– 19 dan patuh kepada arahan selanjutnya daripada Ketua Jabatan, 'Hotline' COVID-19, Klinik SRI atau Bilik Gerakan.
“Pihak Pengurusan USM sentiasa mengemaskini SOP berkaitan pengurusan COVID-19 mengikut pewartaan daripada KKM agar kesejahteraan kesihatan pesakit, peneman dan warga kampus sentiasa dalam tahap yang optimum," kata Suhaila.
Warga Kampus Kesihatan yang mempunyai gejala dan bukan kontak rapat kes positif dinasihatkan menghubungi 'Hotline' COVID-19 di talian 09-7673131 pada waktu bekerja dan talian 'Whatsapp' 019-6947836 atau 019-3761296 selepas waktu bekerja untuk penasihatan lanjut.
Teks : Mohamad Iqmal Mathlan & Nik Sheila Erini Che Mat Kamel
Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman