USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Januari 2022 - Unit Perubatan Transfusi (UPT), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima lebih 50 orang ahli Kelab Motorsikal Berkuasa Tinggi Kelantan (Castella) yang hadir menderma darah dalam Program Derma Darah Castella dengan kerjasama Persatuan Jururawat Malaysia cawangan Hospital USM dan McDonald Malaysia.
Presiden Castella, Nik Aziz Ismail berkata, program ini adalah program pertama kelab tersebut yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial dan kecaknaan untuk membantu UPT khususnya pesakit-pesakit di Hospital USM yang memerlukan bekalan darah semasa mereka menerima rawatan.
"Tidak dinafikan, keperluan darah agak mendesak buat masa ini dan disebabkan itulah, kami mengambil inisiatif untuk sama-sama membantu bagi memenuhi keperluan tersebut dengan turut melibatkan ahli keluarga kami sendiri selain daripada ahli kelab.
"Saya berterima kasih kepada pihak Hospital USM khususnya Persatuan Jururawat Malaysia cawangan Hospital USM yang sudi menguruskan program ini dan kami merancang untuk jadikan program derma darah ini sebagai aktiviti tahunan kelab kami,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perubatan UPT, Dr. Mohamad Fadli Mohd Yunus pula menyeru orang ramai khususnya rakyat Kelantan yang berdekatan dengan Hospital USM untuk tampil menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.
“Untuk proses menderma darah, penderma perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelak sebarang jangkitan COVID-19.
"Para penderma yang ingin menderma darah digalakkan datang pada waktu pejabat iaitu pada hari Ahad hingga Rabu jam 8.10 pagi hingga 4.30 petang manakala hari Khamis bermula jam 8.10 pagi hingga 3.00 petang,” katanya.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria/ Foto: Nour Aida Azreena Ahmad Zulman