USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Januari 2022 - Orang ramai dinasihat memastikan penggunaan ubat antibiotik digunakan secara rasional dan berhemah bagi mengurangkan kerintangan antibiotik atau ‘antimicrobial resistance’ (AMR).
Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman berkata, untuk memastikan masyarakat memahami kebaikan atau keburukan antibiotik, pendedahan yang lebih meluas perlu dilaksanakan agar mereka memahami bukan semua penyakit memerlukan rawatan menggunakan antibiotik.
"Antara penyakit yang tidak memerlukan antibiotik ialah batuk, selesema dan sakit tekak yang disebabkan oleh virus dan penggunaan antibiotik dalam rawatan penyakit berkenaan tidak berkesan sama sekali.

“Dapatkan nasihat doktor untuk rawatan yang sesuai jika anda tidak sihat kerana preskripsi doktor adalah perlu untuk penggunaan antibiotik,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian ‘World Antibiotic Awareness Week (WAAW), peringkat Hospital USM, hari ini.
Tambahnya, antibiotik digunakan secara meluas bagi rawatan penyakit akibat jangkitan kuman atau bakteria bertujuan untuk membunuh bakteria (bactericidal) atau menghentikan perkembangan bakteria (bacteriostatic) dalam mempercepatkan proses untuk kembali pulih atau sembuh.

“Namun, peningkatan kes-kes ‘Multidrug Resistant Organisms’ (MDRO) dari semasa ke semasa adalah disebabkan oleh penggunaan antibiotik yang berspektrum besar dan tidak mengikut garis panduan.
“Penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan berleluasa mewujudkan masalah baharu kerintangan antibiotik. Kerintangan antibiotik berlaku apabila bakteria menjadi kebal kepada antibiotik dan menyebabkan antibiotik yang digunakan tidak berkesan dalam merawat jangkitan,” jelasnya lagi.
Selain itu, Nik Hisamuddin turut menyeru orang ramai agar menjadikan kaedah pencucian tangan yang betul sebagai amalan harian untuk mengelak jangkitan silang sekaligus menghalang bakteria dari terus merebak.

Sambutan WAAW biasanya disambut pada bulan November setiap tahun, walau bagaimanapun Hospital USM terpaksa menunda sambutan bagi tahun sebelumnya dan melaksanakan program ini pada 22 hingga 27 Januari 2022 berikutan rebakan jangkitan COVID-19 yang melanda negara sudah lebih dua (2) tahun.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengarah Klinikal, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah Insfrastuktur dan Aset, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Penyelaras Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH), Profesor Madya Dr. Siti Suraiya Md Noor dan Ketua Penyelia Jururawat, Raudzah Mohamed Ariffin.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman