header text

header text

PANDEMIK COVID-19 : BAGAIMANA JABATAN KECEMASAN DAN TRAUMA BERFUNGSI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Januari 2022 – Setiap hospital pastinya mempunyai Jabatan Kecemasan dan Trauma masing-masing termasuk Hospital Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam keadaan pandemik COVID-19 seperti sekarang, Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital adalah antara lokasi penting dalam mendepani kemelut kesihatan pesakit. 

Situasi ini turut diakui oleh Pensyarah Kanan yang juga Pakar Jabatan Perubatan Kecemasan dan Trauma Hospital USM, Dr. Ariff Arithra Abdullah. 
 
SAVE 20220124 221057
 
Menurutnya, Jabatan Kecemasan boleh dikatakan sebagai lokaliti utama untuk memberi rawatan awal kepada pesakit yang memerlukan terutamanya bagi kes-kes kecemasan sebelum pesakit dibawa ke bahagian lain seperti wad, unit rawatan rapi (ICU) atau dewan bedah. 
 
“Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital USM pula berfungsi untuk memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit yang pada awalnya akan disaring di Kaunter Triage bagi menentukan kemasukan ke zon merah, kuning atau hijau mengikut tahap keterukan pesakit.  
 
“Zon merah adalah untuk kes-kes kritikal yang perlu dilihat dengan segera seperti kemalangan serius, serangan jantung, pesakit tidak sedarkan diri, pendarahan yang teruk, renjatan (shock) dan sebagainya.  
 
“Zon kuning pula adalah untuk kes-kes separa kritikal yang mana pesakit masih stabil tetapi memerlukan rawatan kecemasan seperti radang paru-paru, sakit perut, keracunan makanan dan angin ahmar yang stabil manakala zon hijau adalah untuk kes-kes tidak kritikal seperti sakit kepala, benda asing masuk dalam hidung atau telinga, cirit-birit yang tidak serius serta kes-kes selesema dan batuk,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Sembang Sihat, Radio Kelantan FM, baru-baru ini. 
 
Ariff berkata, disebabkan negara masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital USM mengambil langkah mewujudkan dua (2) lagi zon iaitu zon ‘Influenza like Illness’ (ILI) dan ‘Severe Acute Respiratory Illness’ (SARI) untuk merawat kes jangkitan saluran pernafasan seperti selesema dan batuk. 
 
“Zon ILI diwujudkan untuk merawat kes jangkitan saluran pernafasan yang tidak kritikal dan SARI adalah untuk kes-kes separa kritikal dan kritikal.  
 
“Selain itu, Jabatan Kecemasan juga mempunyai wad pemerhatian untuk memantau pesakit yang menjalani rawatan atau menunggu keputusan ujian sebelum dibenarkan masuk wad ataupun dibenarkan pulang ke rumah,” jelasnya lagi. 
 
Tambah Ariff, beban tugas di Jabatan Kecemasan yang semakin bertambah sejak wujudnya virus COVID-19 tidak sedikitpun melunturkan semangat paramedik dalam memberi perawatan terbaik kepada pesakit. 
 
Ketika ditanya mengenai risiko pesakit terdedah kepada jangkitan COVID-19 dari pesakit lain semasa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan, Ariff menyatakan bahawa setiap orang yang datang ke Jabatan Kecemasan dan Trauma perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk staf hospital dan pesakit. 
 
“Kawasan atau zon pesakit COVID-19 dengan pesakit-pesakit kecemasan lain sentiasa diasingkan mengikut zon selepas disaring di Kaunter Triage. Semua staf yang bertugas perlu sentiasa memakai ‘Personal Protection Equipment’ (PPE) dan menggunakan ‘hand sanitizer’ setiap kali sebelum dan selepas melakukan rawatan. 
 
“Semua petugas perubatan ditetapkan untuk bertugas mengikut zon masing-masing dan tidak boleh bergerak ke zon yang lain bagi mengurangkan risiko jangkitan,” ulasnya lanjut. 
 
Menurut Ariff, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi demi memastikan tiada penularan jangkitan virus COVID-19 di Jabatan Kecemasan.  
 
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak datang ke hospital sekiranya tiada urusan penting atau melawat serta meneman pesakit yang stabil dalam usaha membantu kerajaan melandaikan lekuk kes jangkitan harian. 
 
“Jujurlah dalam mengisi borang deklarasi COVID-19 kerana ianya penting bagi melindungi pesakit dan staf di Jabatan Kecemasan selain memastikan penularan wabak COVID-19 berjaya diputuskan,” katanya. 
 
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood & Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 28 Mei 2023.
Jumlah Pengunjung
4005761