USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Januari 2022 – Penyediaan ruang khusus dikenali sebagai ‘Ruang Terapeutik Kanak-kanak’ dipercayai dapat memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran kepada pesakit kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan di semua wad Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman, ruangan itu disediakan hasil sumbangan Syarikat Grass2route Sdn. Bhd. dan Edotco Group Sdn. Bhd. berjumlah RM20,000.
“Saya percaya ruangan ini dapat memberi keselesaan kepada pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di samping menambahbaik persekitaran wad di Hospital USM dengan mengekalkan konsep hijau dan mesra kanak-kanak.
“Ruangan ini turut dilengkapi dengan peralatan permainan dan buku bacaan yang memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada pesakit tempatan malahan pesakit dari luar Kelantan yang mendapatkan rawatan di sini,” ujarnya ketika ditemui di majlis perasmian ruangan tersebut, hari ini.
Nik Hisamuddin berkata, beliau sangat bersyukur kerana Hospital USM sentiasa menjadi pilihan dan menerima sumbangan dari pelbagai pihak dengan cara dan konsep yang berbeza-beza tetapi tujuannya hanya satu, iaitu demi kelangsungan perubatan dan perawatan pesakit khususnya golongan B40.
“Saya berharap agar lebih ramai individu, syarikat korporat atau badan bukan kerajaan (NGO) sudi menghulurkan sumbangan bagi membantu kami menyediakan lebih banyak ruangan seperti ini bukan sahaja untuk kegunaan pesakit kanak-kanak malah untuk pesakit-pesakit dewasa juga.
“Bagi pihak Hospital USM, saya juga akan berusaha untuk menyediakan ruang sebegini di setiap wad bagi memberi keselesaan kepada semua pesakit sekaligus membantu sesi pemulihan mereka untuk kembali sembuh seperti sediakala,’ jelasnya lagi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman