USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Januari 2022 - Rata-rata rakyat di seluruh dunia teruja dan gembira apabila Kerajaan Arab Saudi kembali membuka pintu negara mereka untuk para jemaah menunaikan ibadah umrah.
Harapan serta doa dipanjatkan agar ibadah haji musim ini dapat dilaksanakan seperti biasa setelah ditangguhkan pada tahun 2020 manakala hanya dibuka kepada bilangan yang kecil pada tahun 2021 bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Cahaya sedikit terang apabila program vaksinasi dijalankan di seluruh dunia sebagai salah satu usaha mencegah jangkitan COVID-19. Ini membolehkan individu yang telah lengkap vaksinasi merentas sempadan negeri dan negara untuk pelbagai urusan termasuk mengerjakan ibadah haji dan umrah.
Penemuan vaksin dan penggunaannya bagi mencegah penyakit berjangkit telah bermula dalam tamadun Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W. lagi. Sejarah membuktikan tamadun Islam antara pelopor dalam penjagaan nyawa manusia.

Menurut Ketua Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zakuan Zainy Deris, dalam konteks penularan wabak COVID-19, kesihatan jemaah haji dan kepentingan vaksin adalah satu perkaitan yang sangat rapat iaitu antara ibadah seseorang muslim dengan penemuan sains.
"Dalam ibadah haji, terdapat satu keperluan khusus yang perlu ada iaitu ‘istita'ah - kemampuan’. Setiap muslim yang berhajat mengerjakan ibadah haji, disyaratkan mempunyai ‘kemampuan’ dari sudut kewangan, kesihatan sebelum, semasa dan selepas menunaikan haji serta kemampuan kota suci Mekah menampung jemaah haji.
"Cabaran kesihatan jemaah haji bukan sahaja dalam bentuk kesihatan individu, tetapi dalam bentuk kesihatan keseluruhan jemaah kerana percampuran antara jemaah haji yang ramai dari serata pelosok dunia boleh menjadikan tanah suci sebagai tempat penyebaran penyakit berjangkit," katanya.

Zakuan berkata, keadaan semasa musim haji memerlukan setiap jemaah mempunyai perlindungan mencukupi khususnya untuk mengelak penyakit merbahaya yang mudah berjangkit.
"Saya merasakan bahawa sebahagian besar keberkesanan pencegahan perebakan tersebut merupakan hasil usaha-usaha yang dilakukan oleh pakar dan saintis dengan disokong oleh pihak berwajib kota suci sepanjang zaman.
"Dalam musim haji di era moden ini, kita dapati ada penyakit yang boleh menular khususnya melalui titisan pernafasan. Penyakit meningokokus sebagai contohnya, merebak semasa musim haji pada tahun 1987, 2000 dan 2001," jelasnya lagi.

Tambah beliau, hal ini membawa kepada program vaksinasi besar-besaran penduduk Jeddah dan Mekah bermula tahun 1992 dan pengenalan vaksin wajib oleh pihak berkuasa tanah suci bagi pemohon visa haji dan umrah bermula pada tahun 2001.
"Tiada bantahan daripada umat Islam dalam program tersebut kerana mereka maklum akan kepentingan vaksin dalam mencegah perebakan penyakit meningokokus ini.
"Di samping vaksin meningokokus, terdapat beberapa vaksin lain yang digalakkan untuk peserta haji dan umrah atau mana-mana individu yang hadir perhimpunan besar iaitu vaksin influenza dan vaksin pneumokokus," ujarnya lanjut.

Tambah Zakuan, satu perkara yang kita perlu sedar, vaksin bukan ubat tetapi ia bertindak sebagai penebat kepada keterukan gejala terutama bagi anggota jemaah haji yang lanjut usia atau mempunyai penyakit sampingan, mengurangkan kadar kematian jika dijangkiti pada tahap yang lebih teruk serta mencegah jangkitan dalam komuniti dan golongan yang belum ada imuniti.
"Jemaah haji dan umrah juga hendaklah memastikan mereka mengambil vaksin-vaksin lain yang sudah diperkenalkan dalam program vaksinasi atau imunisasi kebangsaan negara masing-masing secara lengkap.
"Sebagai tambahan kepada program vaksinasi, kaedah pencegahan lain terus dijalankan bagi mengawal penyakit berjangkit khususnya bagi penyakit yang tiada vaksin atau penyakit yang baharu menular dalam kitaran manusia.
"Sebagai contohnya wabak penyakit MERS CoV pada awal 2010 berjaya dikawal dengan amalan pencegahan jangkitan iaitu memakai topeng muka, amalan etika batuk, cuci tangan dan mengelak berhubung dengan orang tidak sihat secara berdepan serta terdapat juga larangan lawatan ke ladang unta yang mungkin menjadi punca penularan penyakit tersebut", kata beliau.
Menurut Zakuan, masyarakat perlu menyokong penyelidikan untuk kebaikan bersama dan memberi kepercayaan sesuatu bidang kepada ahlinya agar penyampaian maklumat adalah tepat dan bukannya percaya kepada informasi palsu yang ditularkan.
"Dengan program vaksinasi yang menyeluruh serta penyertaan masyarakat dalam program vaksinasi dan program pencegahan ini, diharapkan ibadah haji khususnya dan umrah amnya akan terus berlangsung dengan selamat dan kita mendapat pulangan dengan amalan yang sempurna," katanya lagi.
Zakuan yang juga Pengarah Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Hospital USM berkongsi maklumat berkenaan dalam syarahan beliau sempena Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang diadakan secara hibrid di Dewan Kuliah C, Kampus Kesihatan dan dipancarkan secara terus menerusi platform FB USM Kampus Kesihatan.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman